Antarabangsa
Eksperimen maut AS : Rakyat disembur bakteria tanpa izin
- Operation Sea-Spray, dijalankan oleh Tentera Laut AS pada September 1950 dengan tujuan menilai kesan serangan biologi terhadap bandar padat penduduk.
- Tanpa sebarang makluman atau keizinan awam, tentera AS telah menyembur bakteria sebenar ke udara menggunakan kapal perang berhampiran pantai San Francisco.
- Beberapa hari selepas semburan dilakukan, hospital tempatan mula menerima pesakit dengan simptom jangkitan luar biasa yang tidak pernah dikesan sebelum ini.
- Tiada seorang pun yang dihukum, dan tiada pampasan diberikan kepada mangsa.
SAN FRANCISCO, 1950 — Sebuah pendedahan mengejutkan mengenai eksperimen rahsia kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah mencetuskan kemarahan ramai apabila diketahui bahawa ribuan penduduk San Francisco pernah dijadikan bahan ujikaji tanpa pengetahuan mereka.
Eksperimen tersebut, yang dikenali sebagai Operation Sea-Spray, dijalankan oleh Tentera Laut AS pada September 1950 dengan tujuan menilai kesan serangan biologi terhadap bandar padat penduduk.
Tanpa sebarang makluman atau keizinan awam, tentera AS telah menyembur bakteria sebenar ke udara menggunakan kapal perang berhampiran pantai San Francisco.
Antara bakteria yang digunakan ialah Serratia marcescens, sejenis mikroorganisma berwarna merah yang ketika itu disangka tidak berbahaya, dan Bacillus globigii, yang memiliki sifat menyerupai bakteria antraks.
Kabus semula jadi bandar tersebut mempercepatkan penyebaran bakteria ke seluruh kawasan perumahan, hospital, sekolah dan premis awam lain menjadikan paru-paru ribuan penduduk sebagai sasaran eksperimen tanpa rela.
Beberapa hari selepas semburan dilakukan, hospital tempatan mula menerima pesakit dengan simptom jangkitan luar biasa yang tidak pernah dikesan sebelum ini.
Sebelas orang dimasukkan ke Hospital Stanford akibat jangkitan saluran kencing yang pelik, dan salah seorang daripada mereka, Edward Nevin, seorang lelaki berusia 75 tahun, meninggal dunia akibat jangkitan tersebut.
Lebih membimbangkan, eksperimen ini bukan satu kes terpencil.
Berdasarkan kajian lanjut, kerajaan AS telah menjalankan lebih 239 ujian biologi terbuka dari tahun 1940-an hingga 1960-an di pelbagai lokasi termasuk sistem kereta api bawah tanah New York, terminal bas di Washington D.C., sekolah, lapangan terbang, dan pangkalan tentera, semuanya tanpa pengetahuan awam.
Keluarga Edward Nevin kemudian mengemukakan saman terhadap kerajaan AS, namun gagal apabila mahkamah memutuskan bahawa tentera tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kecuaian semasa “ujian masa aman”.
Tiada seorang pun yang dihukum, dan tiada pampasan diberikan kepada mangsa.
Eksperimen ini dilakukan dalam konteks ketegangan era Perang Dingin, di mana kebimbangan terhadap serangan biologi dari Kesatuan Soviet mendorong tindakan drastik dan tidak berperikemanusiaan ini.
Atas nama ‘keselamatan negara’, rakyat sendiri dijadikan sasaran eksperimen oleh pihak yang sepatutnya melindungi mereka.
Hari ini, Operation Sea-Spray kekal sebagai simbol kegagalan etika kerajaan AS dalam menghadapi cabaran strategik apabila kepentingan negara diutamakan sehingga sanggup menggadaikan nyawa rakyat sendiri, tanpa rasa bersalah. -The Merdeka Times