Terkini
Penjawat awam jangan main TikTok, Facebook waktu bertugas – CUEPACS
- Menurut Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, setiap penjawat awam perlu memberi tumpuan penuh terhadap tugas ketika waktu kerja sebagaimana dinyatakan dalam surat edaran rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh Jun 2013.
- “Penggunaan media sosial sewaktu bertugas tanpa keperluan rasmi boleh dianggap menjejaskan produktiviti dan menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993].
- CUEPACS nasihatkan semua penjawat awam patuhi garis panduan itu demi jaga integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.
KUALA LUMPUR — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan penjawat awam tidak boleh aktif bermain media sosial seperti TikTok dan Facebook sewaktu sedang bertugas.
Menurut Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, setiap penjawat awam perlu memberi tumpuan penuh terhadap tugas ketika waktu kerja sebagaimana dinyatakan dalam surat edaran rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh Jun 2013.
“Penggunaan media sosial sewaktu bertugas tanpa keperluan rasmi boleh dianggap menjejaskan produktiviti dan menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993].
“Oleh itu, CUEPACS menasihatkan semua penjawat awam agar mematuhi garis panduan ini demi menjaga integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Harian Metro ketika mengulas mengenai adakah penjawat awam boleh aktif bermain media sosial sewaktu bertugas.
Mengulas tentang jumlah penjawat awam dikenakan tindakan berikutan melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Adnan memaklumkan pihaknya tidak mempunyai akses berkaitan perkara itu.
Bagaimanapun, beliau difahamkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mempunyai rekod serta mekanisme pemantauan terhadap perkara itu.
“Apa yang lebih utama, CUEPACS menggesa semua penjawat awam agar sentiasa mematuhi etika dan tatakelakuan yang digariskan dalam perkhidmatan, termasuk ketika menggunakan media sosial, demi menjaga maruah dan reputasi perkhidmatan awam di mata rakyat,” katanya.
Adnan dalam masa sama meminta semua penjawat awam supaya terus mengekalkan tahap profesionalisme tinggi dan menggunakan media sosial sebagai alat positif untuk menyampaikan maklumat yang membina serta bukannya mencemarkan nama baik jabatan atau kerajaan.
“Integriti dan fokus terhadap tugas adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam negara,” katanya. — The Merdeka Times