Connect with us

Terkini

Permit syarikat bas nahas Gerik dibatalkan serta-merta

Published

on

Foto: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pemilik syarikat terbabit melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan tidak mengaktifkan GPS.
  • Tiada peluang rayuan diberikan kepada syarikat tersebut, manakala pembatalan permit adalah kekal dan tidak berubah.
  • “Pertama dia melanggar syarat, pajakan (bas kepada pihak ketiga). Maknanya dia tak bertanggungjawab ke atas bas itu. Kedua, syarat sangat penting, ada GPS dia tak pasang dan aktifkan. Ini menunjukkan pemilik ini tidak bertanggungjawab,” katanya.

KUALA LUMPUR — Semua permit syarikat pengendali bas persiaran yang terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik yang mengorbankan 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dibatalkan serta merta berikutan pelanggaran beberapa syarat permit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pemilik syarikat terbabit melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan tidak mengaktifkan Sistem Pengesanan Global (GPS).

“Pemilik ini telah memajakkan permit itu kepada pihak ketiga. Pemilik permit ini beralamat di Kedah tetapi dia memajakkan permit itu kepada seorang individu dari Kelantan dengan hanya RM500 sebulan.

“Kita hanya dapati perjanjian antara dua pihak ini hasil daripada siasatan kita, ini telah melanggar syarat permit kenderaan dan kita juga dapati bahawa apabila diminta untuk mereka menyerahkan laporan GPS kenderaan tersebut, dia tak dapat menyerahkan laporan tersebut kerana GPS tidak diaktifkan.

“Jadi ini dua syarat besar yang mereka telah langgar dan saya telah arahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas surat tunjuk sebab tamat tempoh permit untuk syarikat ini akan ditarik balik atau dibatalkan serta-merta, ” katanya dilapor BH pada sidang media di sini hari ini.

Loke juga menegaskan, tiada peluang rayuan diberikan kepada syarikat pengendali bas tersebut, manakala pembatalan permit adalah kekal dan tidak berubah.

“Tidak ada rayuan lagi. Walaupun ada proses rayuan yang dia boleh buat, tapi saya mahu nyatakan tidak akan dilayan rayuan dia, akan dibatalkan serta merta. Kerana ini menunjukkan kecuaian yang tidak boleh dimaafkan.

“Pertama dia melanggar syarat, pajakan (bas kepada pihak ketiga). Maknanya dia tak bertanggungjawab ke atas bas itu. Kedua, syarat sangat penting, ada GPS dia tak pasang dan aktifkan. Ini menunjukkan pemilik ini tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pemandu terbabit konon ‘brek tidak berfungsi’ sehingga mengakibatkan nahas, Loke dilapor berkata siasatan terperinci akan dijalankan.

“Itu kenyataan dia sahaja. Kita akan buat laporan forensik dan sebagainya yang lebih terperinci sama ada dakwaan itu betul atau tidak.

“Tetapi, daripada rakaman ‘dashcam’ pengguna jalan raya lain, amat jelas bahawa ketika itu bas terbabit memotong dan memecut dengan laju dan akhirnya terbabas,” katanya.— The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author