Connect with us

Terkini

Lebih 70 peratus keadaan jalan raya Timur-Barat hubung Gerik-Jeli kritikal

Published

on

Foto: Keadaan permukaan jalan yang tidak rata di laluan Gerik-Jeli, Kelantan.
  • Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO Gerik, Mohd Rizairi Jamaluddin walaupun pelbagai tindakan telah diambil kerajaan, jalan raya itu masih kekal sebagai laluan utama bagi kenderaan berat dan bas persiaran.
  • Kerajaan telah memulakan kerja-kerja penurapan semula, namun tidak melibatkan keseluruhan laluan dan kerosakan jalan masih banyak berlaku di jalan raya berkenaan.
  • Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata pelebaran jalan amat diperlukan ketika ini sebagai usaha menaik taraf laluan berkenaan bagi menjamin keselamatan dan kesesuaian dengan keperluan trafik semasa.
  • Jalan raya yang telah berusia hampir 60 tahun itu kini menunjukkan kerosakan pada strukturnya dan tidak lagi berada dalam keadaan baik.

KUALA LUMPUR — Lebih 70 peratus keadaan jalan di laluan Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan berada dalam keadaan kritikal dan masih teruk.

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO Gerik, Mohd Rizairi Jamaluddin walaupun pelbagai tindakan telah diambil kerajaan, jalan raya itu masih kekal sebagai laluan utama bagi kenderaan berat dan bas persiaran.

“Jika diikutkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan ke kawasan ini tahun lalu dan kerajaan kini telah memulakan kerja-kerja penurapan semula.

“Namun begitu, kerja tersebut tidak melibatkan keseluruhan laluan dan kerosakan jalan masih banyak berlaku di jalan raya berkenaan,” katanya dipetik Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Rizairi berkata masalah utama dikenal pasti di jalan Timur-Barat hubung Gerik-Jeli adalah kekurangan lampu jalan.

“Pemasangan lampu solar amat diperlukan bagi memastikan pencahayaan yang mencukupi di sepanjang laluan secara menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Dalam kemalangan antara 12.30 tengah malam dan 1 pagi, 15 penuntut UPSI dilaporkan maut selepas bas sewa khas yang dinaiki dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak itu terbalik dalam kemalangan terbabit yang turut mengakibatkan 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata pelebaran jalan amat diperlukan ketika ini sebagai usaha menaik taraf laluan berkenaan bagi menjamin keselamatan dan kesesuaian dengan keperluan trafik semasa.

Beliau berkata jalan raya yang telah berusia hampir 60 tahun itu kini menunjukkan kerosakan pada strukturnya dan tidak lagi berada dalam keadaan baik.

“Saya cadangkan keutamaan diberikan kepada pelebaran jalan. Selain itu, keseluruhan permukaan jalan perlu diturap semula secara menyeluruh. Struktur sedia ada perlu dikorek dan diganti tampalan baharu sepenuhnya kerana pendekatan sebelum ini hanya melibatkan kerja-kerja tampalan, kos mencecah RM150,000 bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, ia juga tidak memberikan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Fathul Huzir berkata pihaknya juga telah meminta sebuah unit Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT) ditubuhkan untuk bersiap sedia di sebuah pusat yang dilengkapi mini klinik, ambulans, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Jelasnya, jika berlaku kemalangan atau kejadian kecemasan, pasukan tersebut yang akan tiba terlebih dahulu, memandangkan ketika ini ia mengambil masa satu hingga dua jam untuk sampai dari Gerik ke lokasi kejadian.

“Saya juga telah memohon agar perkara ini disegerakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Malah, wakil rakyat sebelum ini saya juga pernah membawa perkara ini, namun ia seolah-olah dipandang enteng,” katanya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author