Connect with us

Terkini

Usaha promosi LGBTQ cubaan rosakkan asas kekeluargaan

Published

on

Foto: Pengerusi Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia, Dr Ainul Asyraf Lokman
  • Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia menyokong penuh ketegasan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menolak sebarang program mempromosikan gaya hidup songsang LGBTQ.
  • “Ia bukan sekadar perbezaan pandangan, tetapi satu percubaan serius untuk merosakkan asas kekeluargaan dan struktur sosial yang telah sebati dalam budaya Timur dan ajaran Islam.
  • “Bagi kami, para syubban (pemuda), isu ini melangkaui perdebatan hak asasi semata-mata. Ia adalah tentang mempertahankan maruah ummah dan kesucian agama daripada sebarang bentuk pencemaran ideologi,” – Pengerusi Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia, Dr Ainul Asyraf Lokman.

KUALA LUMPUR — Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia menyokong penuh ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menolak sebarang program mempromosikan gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoalkan identiti seksual diri (LGBTQ).

Pengerusinya, Dr Ainul Asyraf Lokman berkata sebagai anak muda proaktif dan berlandaskan syariat, pihaknya amat prihatin dengan agenda cuba menormalisasikan perkara yang jelas bertentangan fitrah dan ajaran Islam berikutan ia juga bukan isu remeh, tetapi melibatkan soal maruah dan hala tuju generasi.

Ketika ini, Ainul Asyraf berkata pihaknya melihat pelbagai usaha gigih dilakukan pihak tertentu bagi memperluaskan ideologi asing kepada masyarakat di negara ini, khususnya dalam konteks identiti dan orientasi seksual.

“Ia bukan sekadar perbezaan pandangan, tetapi satu percubaan serius untuk merosakkan asas kekeluargaan dan struktur sosial yang telah sebati dalam budaya Timur dan ajaran Islam.

“Bagi kami, para syubban (pemuda), isu ini melangkaui perdebatan hak asasi semata-mata. Ia adalah tentang mempertahankan maruah ummah dan kesucian agama daripada sebarang bentuk pencemaran ideologi.

 “Kita takkan berdiam diri bila akidah kita dicabar!,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu.



Foto: Kenyataan Media Pengerusi Syubban (pemuda) Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Terdahulu, penganjur program bertemakan ‘Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness’ yang didakwa ingin dianjur untuk meraikan Pride Month pada bulan ini disarankan Mohd Na’im supaya berhenti menjalankan sebarang aktiviti bercanggah undang-undang negara dan nilai moral masyarakat dengan serta-merta.

Menteri Agama itu juga dilapor menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, secara halus atau terbuka serta tindakan penganjuran program sedemikian, walaupun bersifat tertutup ia jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia.

Kenyataan itu difahamkan dituju kepada sayap sebuah parti politik, Pemuda Sosialis yang pada 26 Mei lalu ada memuat naik ciapan di X menguar-uarkan bahawa sempena bulan Pride, Rainbow Troupe daripada Pemuda Sosialis buat pertama kalinya akan menganjurkan program berkenaan komuniti queer.

Mengulas lanjut, Dr Ainul berkata pihaknya bukan sekadar menyokong, malah mendokong penuh tindakan pantas dan tegas Menteri Agama dalam membendung sebarang program yang berunsur promosi LGBTQ.

“Ini adalah tanggungjawab strategik kita bersama untuk menjaga kesucian agama dan kemurnian akhlak masyarakat.

“Kami, generasi muda, adalah aset utama negara dan pewaris legasi ini… Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ideologi yang mampu merosakkan institusi keluarga dan nilai-nilai murni yang telah dibina. 

“Sama-sama kita jaga masa depan agama dan negara!,” katanya yang turut menegaskan bahawa ini bukan tentang membenci individu, tetapi ia berkenaan menolak perbuatan yang bertentangan fitrah dan syariat. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author