Connect with us

Terkini

Hentikan program rai ‘Pride Month’ – Menteri Agama

Published

on

Foto: Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
  • Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan kerajaan Malaysia tolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, secara halus atau terbuka.
  • Tindakan penganjuran program sebegitu jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama dianuti majoriti rakyat Malaysia.
  • “Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta berpegang kepada nilai budaya Timur yang luhur, sebarang bentuk usaha yang dilihat cuba menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBTQ adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan,” katanya.

KUALA LUMPUR — Penganjur program bertemakan ‘Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness’ yang didakwa ingin dianjur untuk meraikan Pride Month pada bulan depan disaran supaya berhenti menjalankan sebarang aktiviti bercanggah undang-undang negara dan nilai moral masyarakat dengan serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, secara halus atau terbuka.

Jelasnya lagi, tindakan penganjuran program sebegitu, walaupun bersifat tertutup ia jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia.

“Saya memandang serius laporan berkenaan penganjuran program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness yang didakwa bertujuan meraikan Pride Month, seperti yang tular melalui platform media sosial baru-baru ini.

“Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta berpegang kepada nilai budaya Timur yang luhur, sebarang bentuk usaha yang dilihat cuba menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBTQ adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial semalam.

Kenyataan itu difahamkan dituju kepada sayap sebuah parti politik, Pemuda Sosialis yang pada 26 Mei lalu ada memuat naik ciapan di X menguar-uarkan bahawa sempena bulan Pride, Rainbow Troupe daripada Pemuda Sosialis buat pertama kalinya akan menganjurkan program berkenaan komuniti queer.

 

Foto: Tangkap layar ciapan Pemuda Sosialis di X.

Ciapan Pemuda Sosialis itu mengundang kritikan ramai netizen yang menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan, malah ada yang mengingatkan bahawa di negara ini data terkini menunjukkan bahawa kumpulan MSM (lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki) menyumbang peratusan tertinggi kes HIV baharu.

Foto: Tangkap layar antara komen netizen di ciapan Pemuda Sosialis.

Sementara itu, Mohd Na’im juga menyarankan pihak berkuasa, termasuk PDRM untuk segera menyiasat penganjuran program terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud sebarang pelanggaran undang-undang.

Beliau turut meminta agensi-agensi agama, termasuk JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri bersedia memainkan peranan penguatkuasaan, khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam.

“Pada masa sama, saya menyeru semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat kita daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan keharmonian negara.

“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara demi memelihara agama, akhlak dan maruah umat,” katanya sambil menegaskan bahawa budaya songsang tidak akan pernah menjadi norma di negara ini. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author