Connect with us

Terkini

MACSA bersama 91 NGO sokong ketegasan Menteri Agama tolak program rai bulan Pride

Published

on

Foto: Keratan artikel berkaitan program rai 'Pride Month'
  • Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan bulan Pride yang disambut pada Jun setiap tahun dan dikatakan sebagai bulan kesedaran tentang LGBTQ adalah jelas mempromosikan gaya hidup LGBT dengan disokong badan hak asasi Barat dan sektor korporat.
  • Pelbagai program dan acara disusun dalam sambutan Pride sebagai usaha pemaksaan ideologi gender ke atas masyarakat di sebalik penggunaan nama ‘kesedaran’.
  • Sambutan Pride berselindung di sebalik perkataan ‘menghalang diskriminasi’ , hakikatnya promosi gaya hidup golongan itu agar diiktiraf.

KUALA LUMPUR — Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala (MACSA) bersama 91 badan bukan kerajaan (NGO) menyokong ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menolak penganjuran program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness bagi meraikan bulan Pride.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan bulan Pride yang disambut pada Jun setiap tahun dan dikatakan sebagai bulan kesedaran tentang lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) adalah jelas mempromosikan gaya hidup LGBT dengan disokong badan hak asasi Barat dan sektor korporat.

Mereka berkata pelbagai program dan acara disusun dalam sambutan Pride sebagai usaha pemaksaan ideologi gender ke atas masyarakat di sebalik penggunaan nama ‘kesedaran’.

“Sambutan Pride berselindung di sebalik perkataan ‘menghalang diskriminasi’ namun hakikatnya ia bertujuan mempromosikan gaya hidup golongan berkenaan agar diberikan pengiktirafan.

“Sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta berpegang kepada nilai budaya Timur yang luhur, kami menyokong penegasan Dato Setia Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar bahawa sebarang usaha menormalisasikan gaya hidup songsang adalah bertentangan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan,” kata mereka.

Terdahulu, penganjur program bertemakan ‘Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness’ yang didakwa ingin dianjur untuk meraikan Pride Month pada bulan depan disarankan Mohd Na’im supaya berhenti menjalankan sebarang aktiviti bercanggah undang-undang negara dan nilai moral masyarakat dengan serta-merta.

Menteri Agama itu juga dilapor menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, secara halus atau terbuka serta tindakan penganjuran program sedemikian, walaupun bersifat tertutup ia jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia.

Kenyataan itu difahamkan dituju kepada sayap sebuah parti politik, Pemuda Sosialis yang pada 26 Mei lalu ada memuat naik ciapan di X menguar-uarkan bahawa sempena bulan Pride, Rainbow Troupe daripada Pemuda Sosialis buat pertama kalinya akan menganjurkan program berkenaan komuniti queer.

Ciapan itu mengundang kritikan ramai netizen yang menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan.

Untuk rekod, MACSA adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia untuk Proses Semakan Berkala. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author