Terkini
Lesen kilang nikotin: Kerajaan Madani gagal letak kesihatan rakyat sebagai keutamaan
- Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi turut persoal tentang apakah nilai sebenar kesihatan rakyat jika kerajaan tunduk kepada tekanan industri demi hasil cukai tidak seberapa dan sudah bersediakah kerajaan untuk menanggung kos perubatan yang besar akibat peningkatan ketagihan nikotin dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
-
“Pendedahan ini (laporan pemberian lesen itu) amat mengejutkan dan membimbangkan — Ia mencerminkan satu keputusan tidak bertanggungjawab yang menggadaikan kesihatan awam demi membuka ruang kepada industri yang terbukti memberi kesan negatif terhadap generasi masa depan.
-
“Kilang seluas 86,000 kaki persegi di Senai, Johor, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 61 juta peranti atau 107 juta pod sebulan, bukan sahaja berisiko menjejaskan rakyat Malaysia, malah menyumbang kepada penyebaran produk merosakkan ini ke seluruh dunia,” katanya kepada The Merdeka Times pada Khamis.
KUALA LUMPUR — Susulan sebuah syarikat e-rokok dan vape ganja berpangkalan di California, Amerika Syarikat dilapor memperoleh lesen pengilangan nikotin sementara pertama di Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional mempersoal tentang jaminan bahawa vape ganja tidak akan disalahguna dalam pasaran tempatan.
Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata dalam isu ini ia turut menimbulkan persoalan tentang apakah nilai sebenar kesihatan rakyat jika kerajaan tunduk kepada tekanan industri demi hasil cukai tidak seberapa dan sudah bersediakah kerajaan untuk menanggung kos perubatan yang besar akibat peningkatan ketagihan nikotin dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Pendedahan ini (laporan pemberian lesen itu) amat mengejutkan dan membimbangkan — Ia mencerminkan satu keputusan tidak bertanggungjawab yang menggadaikan kesihatan awam demi membuka ruang kepada industri yang terbukti memberi kesan negatif terhadap generasi masa depan.
“Kilang seluas 86,000 kaki persegi di Senai, Johor, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 61 juta peranti atau 107 juta pod sebulan, bukan sahaja berisiko menjejaskan rakyat Malaysia, malah menyumbang kepada penyebaran produk merosakkan ini ke seluruh dunia,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sebuah syarikat e-rokok dan vape ganja yang berpangkalan di California, Ispire Technology Inc dilapor memperoleh lesen pengilangan nikotin sementara pertama di Malaysia.
Laporan itu juga memaklumkan, tanpa menyatakan dengan tepat pihak berkuasa persekutuan atau negeri Johor mana yang mengeluarkan lesen tersebut, Ispire mendakwa bahawa mereka merupakan satu-satunya syarikat yang diberi kuasa penuh untuk mengeksport, mengimport dan mengilang produk nikotin, dan memiliki kuasa untuk memulakan pengeluaran produk nikotin di Malaysia “serta-merta”.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus berkata tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun dan membenarkan penggunaan vape serta meluluskan pengilangan adalah langkah ke belakang yang membatalkan segala usaha telah dirintis melalui Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam.
Dalam hal ini yang menambahkan ironinya, menurut beliau adalah apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen Malaysia telah mengadakan lawatan ke Jepun baru-baru ini di mana negara maju itu melarang penggunaan vape demi menjaga kesihatan awam, namun Malaysia sebaliknya membuka pintu seluas-luasnya kepada industri tersebut.
“Lebih mengecewakan, tiada suara lantang dari pihak Kementerian Kesihatan untuk mempertahankan kesihatan generasi akan datang. Di manakah prinsip dan tanggungjawab moral kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat?
“Saya tegaskan di sini, kerajaan Madani telah gagal meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan. Yang dilihat hanyalah keuntungan jangka pendek tanpa memikirkan kemusnahan jangka panjang terhadap generasi Malaysia.
“Sudah tiba masanya rakyat bangkit dan menuntut pertanggungjawaban. Kita tidak boleh berdiam diri ketika masa depan anak-anak kita digadai demi kepentingan industri yang rakus dan tidak berprinsip,” kata Ahli Parlimen Kuala Langat itu.— The Merdeka Times