Terkini
Zamri Vinoth ditahan berkait hantaran Facebook isu kuil

KUALA LUMPUR — Pendakwah bebas, Zamri Vinoth hari ini ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran Facebook dipercayai berkaitan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berhampiran Jalan Masjid India di sini.
Peguam kepada Zamri, Syahidah Hanum Mohd Ghazali menjelaskan anak guamannya ditahan bukan kerana menghina agama Hindu sebagaimana dilaporkan segelintir media.
Sebaliknya, Zamri ditahan kerana hantaran Facebook beliau yang berbunyi, “Ini satu perniagaan yang menguntungkan! Tak payah modal hanya pacak dan cop tempat claim 100 tahun buat bising sikit selesai. Dapat tanah di tengah bandar 4,000 kaki persegi dengan percuma…manyak untung…la ni siapa yang bod**?”
Hantaran itu difahamkan ditulis sebagai reaksi kepada artikel bertajuk, “Pengurusan kuil setuju pindah 50 meter dari lokasi asal – Dr Zaliha”.
“Walaupun pihak polis menghubungi beliau pada jam 6 pagi (tadi), beliau tetap menjawab panggilan tersebut dan memberikan kerjasama.
“Zamri telah hadir ke balai polis untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan pihak polis,” kata Syahidah kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Sebentar tadi media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya menahan lelaki itu di Kangar kira-kira jam 3.30 petang tadi untuk siasatan lanjut selain turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo.
Lelaki berusia 41 tahun itu dilaporkan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dan akan dibawa ke Mahkamah Kangar esok untuk mendapat perintah reman.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ini selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang penganggur berusia 62 tahun pada jam 6.30 petang Rabu.
Isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang dilaporkan didirikan di atas tanah milik syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Tanah diduduki kuil itu dilaporkan dijual kepada Kumpulan Jakel yang turut memiliki sebuah pusat beli-belah di kawasan sama, di mana ia diwakafkan pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kuil itu akan dipindahkan 50m dari lokasi semasa.
Jawatankuasa kuil telah bersetuju ia dipindahkan ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sepadan dengan saiz rumah ibadat itu.– The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login