Terkini
Kuil mesti dibina atas tanah milik sendiri – Malaysia Hindu Sangam
- Kuil mesti dibina di atas tanah milik sendiri kuil atau Jawatankuasa Pengurusan Kuil (JPK), serta elakkan tanah yang disewa, dipajak, tanah rizab, dan tanah dihuni tanpa kebenaran pemilik.
- Itu antara pra-syarat untuk mendirikan kuil Hindu baru yang terkandung dalam Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan yang disiarkan di laman web Malaysia Hindu Sangam dan diterbitkan sempena Persidangan Kuil Hindu Kebangsaan pada 30 Julai 2017.
- Pra-syarat lain yang terkandung dalam garis panduan itu adalah mengelakkan pembinaan kuil di kawasan seperti tanah rizab atau hutan simpanan; tanah TNB, Indah Waters, atau kawasan menara telekomunikasi; tanah pihak ketiga tanpa kebenaran; tempat pembuangan sampah, pembuangan sisa, dan tempat pembersihan kumbahan; kawasan yang tercemar serta kawasan di mana kegiatan haram dilakukan.
KUALA LUMPUR — Kuil mesti dibina di atas tanah milik sendiri kuil atau Jawatankuasa Pengurusan Kuil (JPK), serta elakkan tanah yang disewa, dipajak, tanah rizab, dan tanah dihuni tanpa kebenaran pemilik.
Itu antara pra-syarat untuk mendirikan kuil Hindu baru yang terkandung dalam Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan yang disiarkan di laman web Malaysia Hindu Sangam dan diterbitkan sempena Persidangan Kuil Hindu Kebangsaan pada 30 Julai 2017.
Pra-syarat lain yang terkandung dalam garis panduan itu adalah mengelakkan pembinaan kuil di kawasan seperti tanah rizab atau hutan simpanan; tanah TNB, Indah Waters, atau kawasan menara telekomunikasi; tanah pihak ketiga tanpa kebenaran; tempat pembuangan sampah, pembuangan sisa, dan tempat pembersihan kumbahan; kawasan yang tercemar serta kawasan di mana kegiatan haram dilakukan.
Selain itu, pembinaan kuil juga perlu mengelakkan tempat pembakaran mayat atau kubur, berdekatan longkang dan dalam perkarangan rumah.

Foto: Tangkap layar antara kandungan Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan — Bahagian A: Struktur Kuil dan Arca.
Perkara lain perlu diberi perhatian sebelum mendirikan sebuah kuil Hindu baru adalah kawasan berkenaan mempunyai populasi penganut Hindu yang mencukupi untuk menghadiri upacara sembahyang, memastikan segala urusan pindah milik disempurnakan sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan serta memperoleh kelulusan pembinaan daripada agensi kerajaan sebelum mendirikan rumah ibadat berkenaan.
“Sebaik-baiknya, kuil baru dibina untuk Gaṇapati, Murugan, Śakti, Śiva, dan Viṣṇu, dalam aspek-aspek Saumya, Bhoga, dan Yoga.
“Pembinaan kuil khusus untuk Ugra Mūrti, Parivāra Devata dan Grāma Devata (dewa-dewi kampung) seperti Hanuman, Madurai Veeran, Aiyanar, Muniswaran, Muniandy, Sangilikaruppan, Karuppanasamy, Kātteri, Periyachi Amman, dan Vellai Amman perlu dielakkan berhampiran kawasan penempatan atau kawasan komersial.
“Ini sesungguhnya ditegah oleh Āgama,” kata Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan itu.
Sebelum ini, The Merdeka Times melaporkan seorang peguam menegaskan bahawa pembinaan kuil Hindu yang di’pacak’ sesuka hati iaitu bukan di tanah milik mereka sendiri perlu dihentikan.
Ini kerana menurut Aidil Khalid yang merujuk laporan artikel The Star bertajuk, “Temples at risk of being demolished” bertarikh 18 Disember 2020, di Kedah sahaja, daripada 523 kuil Hindu yang dibina di negeri itu, hanya 25 didirikan betul di atas tanah milik kuil sendiri, manakala baki lagi 498 kuil bukan dibina di atas tanah sendiri.
Kenyataan itu dilihat dikeluarkan ditengah-tengah kontroversi berkenaan isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang dilaporkan didirikan di atas tanah milik syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel).
Tanah diduduki kuil itu dilaporkan dijual kepada Kumpulan Jakel yang turut memiliki sebuah pusat beli-belah di kawasan sama, di mana ia diwakafkan pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat. — The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login