Antarabangsa
Gelar transgender berdasarkan jantina sebenar dianggap ‘jenayah kebencian’ di UK?
Polis Leicestershire dikecam hebat selepas membuat ciapan di Twitter berkenaan penggunaan kata ganti nama diri bagi golongan transgender.

- Polis Leicestershire UK membuat ciapan di Twitter yang seolah-olah menggambarkan penggunaan kata ganti diri yang salah bagi golongan transgender boleh dianggap ‘jenayah kebencian’.
- Perkara itu dimuatnaik di laman Twitternya pada 8 Oktober lalu sebagai kempen mempromosikan laman web anti kebencian.
- Netizen UK menganggap polis Leicestershire sepatutnya memberi keutamaan pada isu jenayah sebenar yang sedang berlaku di bandar itu dan bukan mengenai ganti nama kelompok transgender.
Polis Leicestershire dikecam hebat selepas membuat ciapan di Twitter berkenaan penggunaan kata ganti nama diri bagi golongan transgender.
Ciapan itu mendakwa yang penggunaan kata ganti nama diri yang “salah” ke atas golongan itu boleh dilaporkan sebagai jenayah kebencian.
Menerusi akaun Twitter Leicestershire Police’s Stay Safe pada 8 Oktober lalu, pihak polis itu melancarkan kempen media sosial mempromosikan Stamp It Out, sebuah laman web sumber anti kebencian yang memberi maklumat mengenai undang-undang jenayah kebencian di kawasan itu, demikian dilaporkan portal Reduxx.
Pelbagai gambar contoh jenayah kebencian dimuatnaik, namun yang menjadi tular ialah gambar seorang lelaki berimej wanita yang dikenali sebagai Jane, 57, bersama tulisan “sebelum ini, saya dipanggil dengan nama lelaki saya secara sengaja, tetapi itu bukan saya. Kadangkala ia sangat menyakitkan, terutamanya apabila ia dijadikan bahan jenaka”.
Walaupun kononnya cuba menggambarkan individu sebenar, “Jane” sebenarnya adalah model foto yang muncul dalam berpuluh-puluh gambar yang dilesenkan di pelbagai laman web foto terkenal.
Berkemungkinan besar juga model itu sendiri tidak mengetahui gambarnya digunakan untuk kempen terbabit kerana gambar sebegitu biasanya dibeli menerusi pihak ketiga.
Ramai pengguna di United Kingdom (UK) berpendapat Polis Leicestershire memberi keutamaan pada perkara yang tidak sepatutnya, memandangkan lonjakan kadar jenayah yang besar telah berlaku di bandar Leicester baru-baru ini.
Mereka berpendapat, isu-isu jenayah yang sedang berlaku seperti kes bunuh dan rogol yang berlaku kepada wanita sebenar adalah lebih besar, berbanding isu kata ganti nama bagi transgender ini.
Sumber: Reduxx
