Connect with us

Terkini

MTEM cadang lantik senator daripada wakil NGO

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dilantik sebagai senator bagi membawa isu rakyat ke Dewan Negara.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

MTEM cadang lantik senator daripada wakil NGO
Foto: Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin.
  • Majlis Tindakan Ekonomi Melayu mencadangkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dilantik sebagai senator bagi bawa isu rakyat ke Parlimen.
  • Pelantikan itu sebagai inisiatif bagi mendengar keluhan peniaga Melayu.
  • Cadangan itu boleh dibuat seperti wakil orang kurang upaya (OKU) yang dilantik.
  • Ia antara sembilan cadangan yang akan dikemukakan semua parti politik bertanding PRU-15.

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dilantik sebagai senator bagi membawa isu rakyat ke Dewan Negara.

Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin berkata, cadangan itu boleh dibuat sama seperti wakil orang kurang upaya (OKU) yang dilantik di Dewan Negara.

“Harap pemimpin NGO akan dilantik sebagai senator bagi capai hasrat mendengar keluhan orang Melayu dan peniaga Melayu, tak kira parti mana memerintah, lantik NGO sebagai senator di Dewan Negara,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, perkara itu antara sembilan cadangan yang akan dikemukakan kepada semua parti politik bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, MTEM juga mencadangkan Kementerian Hal Ehwal Melayu ditubuhkan untuk memastikan kepentingan orang Melayu terus diberi keutamaan.

Katanya, kementerian itu juga akan memperjuangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 160 berkaitan Tanah Rizab Melayu.

“Dengan adanya punca kuasa berpusat ini, usaha merancang dan memperkasa ekonomi Melayu akan lebih tersusun,” katanya.

Cadangan lain termasuk pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru 2.0 bagi memperkasa ekonomi negara di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030), merapatkan jurang telekomunikasi antara bandar dan desa, memperkasa sistem ekonomi Islam dan memaksimumkan potensi sumber tenaga Melayu.

MTEM turut mencadangkan sejarah dan warisan Melayu dimartabatkan serta memimpin komuniti niaga Melayu nusantara.

Halim berkata, MTEM tidak akan turun berkempen bagi mana-mana parti yang menuruti cadangan mereka kerana “ia sekadar cadangan” dan mereka merupakan NGO tidak terlibat dengan politik.

“Kita tak ada kecenderungan kepada mana-mana parti, kita fokus terhadap ekonomi.

“Kita akan menyokong kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kita akan bekerjasama dan menyokong usaha mereka sambil memberikan cadangan dari pihak industri supaya mereka perbaiki pentadbiran dalam kerajaan.”

Bagaimanapun katanya, ahli MTEM boleh terlibat dalam politik dan mereka yang ingin bertanding pada PRU15 perlu berdiri di atas kaki sendiri menerusi parti yang disertai.

Sumber: Free Malaysia Today 

 

 

Author