Antarabangsa
Pegawai jenayah kebencian dibenci
Hanya kerana berstatus wanita, berkulit hitam, dan beragama Islam, seorang pegawai polis yang baru sahaja menyandang jawatan sebagai Pegawai Jenayah Kebencian di United Kingdom menerima komen rasis dan anti-Islam di laman sosial.

- Sumaya Bihi yang dilantik sebagai Pegawai Jenayah Kebencian, Polis Leicestershire, menerima kecaman berbaur rasis dan Islamofobik.
- Dia dikecam gara-gara penampilannya yang berhijab, berbangsa kulit hitam, dan beragama Islam.
- Dikecam teruk selepas mengumumkan pelantikannya di laman Twitter minggu lalu.
Hanya kerana berstatus wanita, berkulit hitam, dan beragama Islam, seorang pegawai polis yang baru sahaja menyandang jawatan sebagai Pegawai Jenayah Kebencian di United Kingdom menerima komen rasis dan anti-Islam di laman sosial.
Sumaya Bihi yang baru sahaja dilantik jawatan tersebut, mengumumkan pelantikannya menerusi laman Twitter rasmi polis Leicestershire, Leicestershire Police Stay Safe minggu lalu.
Ciapan tersebut telah menerima lebih 1,500 komen. Meskipun banyak juga yang mengucapkan tahniah atas pelantikannya itu, lebih ramai lagi yang memberi komen-komen kesat mengkritik penampilannya yang berhijab dan berkulit hitam serta pegangan agamanya.
Memetik laporan Islam Channel, Polis Leicestershire membuat satu kenyataan “Kami menyokong Pegawai Jenayah Kebencian kami, mesej-mesej yang melampau telah pun dilaporkan ke Twitter.”
Persatuan amal anti-Islamofobia, Muslim Engagement and Development (MEND) mengulang ciap kenyataan itu dan menyifatkan itu adalah realiti kepada seorang wanita berbangsa kulit hitam dan beragama Islam.
Sumber: Islam Channel TV
