Connect with us

Antarabangsa

Lebih banyak kawasan ditakluk semula oleh pejuang revolusi Syria, Hayat Tahrir al-Sham

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Presiden Bashar al-Assad & Pejuang revolusi Syria yang dipimpin oleh pasukan Hayat Tahrir al-Sham (HTS)
  • Pejuang revolusi Syria yang dipimpin oleh pasukan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) membentuk fasa baru dalam peperangan 13 tahun di wilayah itu apabila mara ke Aleppo dan ke selatan menuju Hama, hanya lima hari selepas melancarkan serangan mengejut ke atas tentera Syria.
  • Tentera Syria mengumumkan penarikan sementara pasukannya dari Aleppo, bandar kedua terbesar di negara itu pada Sabtu lalu.
  • Rabu minggu lalu, pasukan pemberontak Syria, dipimpin oleh HTS, melancarkan serangan mengejut dari pangkalan mereka di wilayah Idlib di barat laut Syria.
  • HTS menyifatkan serangan ini adalah reaksi terhadap serangan kerajaan Syria ke atas bandar-bandar di Idlib, termasuk Ariha dan Sarmada, yang mengakibatkan kematian orang awam, termasuk kanak-kanak, dan bertujuan untuk menghalang serangan pada kubu pemberontak di masa depan.

Pejuang revolusi Syria yang dipimpin oleh pasukan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) membentuk fasa baru dalam peperangan 13 tahun di wilayah itu apabila mara ke Aleppo dan ke selatan menuju Hama, hanya lima hari selepas melancarkan serangan mengejut ke atas tentera Syria.

Tentera Syria mengumumkan penarikan sementara pasukannya dari Aleppo, bandar kedua terbesar di negara itu pada Sabtu lalu dengan alasan mereka akan berkumpul semula bagi mempersiapkan ketibaan pasukan tambahan untuk melancarkan serangan balas.

Pasukan Presiden Bashar al-Assad telah menguasai Aleppo sejak 2016 dengan sokongan daripada Iran, Rusia, dan Hezbollah selepas serangan udara kejam oleh pesawat perang Rusia membantu al-Assad menawan semula bandar yang mempunyai lebih dua juta penduduk itu.

Laporan AlJazeera menyenaraikan empat kumpulan utama kini sedang bersaing untuk menguasai kawasan di Syria. Mereka terdiri pasukan kerajaan Syria iaitu tentera, sebagai pasukan ketenteraan utama kerajaan, berjuang bersama Pasukan Pertahanan Nasional, sebuah kumpulan paramiliter pro-kerajaan.

Kedua, pasukan Demokratik Syria. Kumpulan yang didominasi oleh Kurdis ini disokong oleh Amerika Syarikat dan menguasai sebahagian kawasan timur Syria.

Ketiga, HTS dan Kumpulan Pemberontak yang Bersekutu dimana HTS adalah generasi terbaru daripada Front al-Nusra, yang pernah mengisytiharkan kesetiaan kepada al-Qaeda sebelum memutuskan hubungan itu pada tahun 2016.

Keempat, pasukan Pemberontak Syria yang disokong Turki dan kini digelar Tentera Nasional Syria.

Rabu minggu lalu, pasukan pemberontak Syria, dipimpin oleh HTS, melancarkan serangan mengejut dari pangkalan mereka di wilayah Idlib di barat laut Syria.

HTS menyifatkan serangan ini adalah reaksi terhadap serangan kerajaan Syria ke atas bandar-bandar di Idlib, termasuk Ariha dan Sarmada, yang mengakibatkan kematian orang awam, termasuk kanak-kanak, dan bertujuan untuk menghalang serangan pada kubu pemberontak di masa depan.

Operasi ini merupakan serangan besar pertama terhadap pasukan al-Assad di kawasan tersebut sejak gencatan senjata Idlib 2020 yang dipersetujui oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Menjelang petang Rabu, kumpulan pemberontak tersebut telah menawan sekurang-kurangnya 19 bandar dan kampung daripada pasukan pro-kerajaan, termasuk tapak ketenteraan, dan terus mara ke wilayah Aleppo barat.

Pemberontak dilapor telah menawan lebih banyak kawasan dan mengusir pasukan kerajaan dari kampung-kampung di Idlib timur pada Khamis dan mula bergerak ke arah lebuh raya M5, jalan strategik yang menghubungkan ke selatan ke ibu negara, Damascus, kira-kira 300 km (186 batu) dari situ.

Menurut pemantau perang Syria dan pejuang, Jumaat lalu, pasukan pemberontak dilihat mula memasuki beberapa bahagian bandar Aleppo selepas meletupkan dua bom kereta dan bertempur dengan pasukan kerajaan di pinggir barat bandar tersebut,

Televisyen negara Syria melaporkan bahawa Rusia memberikan sokongan udara kepada tentera negara tersebut.

Pada hari Sabtu, imej dan video mula tersebar di media sosial menunjukkan pejuang pemberontak mengambil gambar di sebelah Citadel Aleppo yang bersejarah ketika mereka mara melalui bandar tersebut.

Pasukan pemberontak turut mengumumkan usaha untuk memperluaskan kawasan selamat dan membenarkan penduduk Idlib yang sebelum ini diusir keluar tentera Assad untuk kembali ke rumah mereka di kawasan yang baru “dibebaskan.” – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *