Antarabangsa
Pelajar kasta rendah di India dibunuh guru kerana salah eja perkataan “sosial”
Polis India sedang memburu seorang guru yang disyaki memukul seorang pelajar kasta rendah sehingga mati kerana kesilapan ejaan sehingga mencetuskan insiden keganasan di daerah Auraiya.

- Polis India sedang memburu seorang guru yang disyaki memukul seorang pelajar kasta rendah sehingga mati kerana kesilapan ejaan sehingga mencetuskan insiden keganasan di daerah Auraiya.
- Nikhil Dohre, 15, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaannya pada Isnin lalu di sebuah hospital di utara negeri Uttar Pradesh dengan tertuduh melarikan diri dari kawasan itu.
- Dohre adalah ahli komuniti Dalit, yang berada di tangga terbawah dalam sistem kasta India dan kumpulan itu berhadapan dengan tindakan prejudis serta dan diskriminasi selama berabad-abad di India.
UTTAR PRADESH – Polis India sedang memburu seorang guru yang disyaki memukul seorang pelajar kasta rendah sehingga mati kerana kesilapan ejaan sehingga mencetuskan insiden keganasan di daerah Auraiya.
Nikhil Dohre, 15, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaannya pada Isnin lalu di sebuah hospital di utara negeri Uttar Pradesh dengan tertuduh melarikan diri dari kawasan itu.
“Suspek sedang melarikan diri, tetapi kami akan menangkapnya tidak lama lagi,” kata pegawai polis, Mahendra Pratap Singh semalam dipetik TRT World.
Dohre dipukul dengan kayu dan ditendang sehingga pengsan oleh guru sekolah menengahnya awal bulan ini selepas didakwa salah mengeja perkataan “sosial” dalam peperiksaan, demikian menurut aduan polis difailkan bapanya.
Dohre adalah ahli komuniti Dalit, yang berada di tangga terbawah dalam sistem kasta India, dan kumpulan itu berhadapan dengan tindakan prejudis dan diskriminasi selama berabad-abad di India.
Beratus-ratus orang turun ke jalan pada Isnin lalu selepas berita kematian Dohre tersebar di daerah Auraiya yang juga lokasi serangan.
Orang ramai menuntut guru itu ditangkap sebelum pembakaran mayat remaja lelaki itu dan bertindak membakar kenderaan polis.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.
Sumber: TRT World
