Connect with us

Antarabangsa

Peniaga Muslim dihalang buka kedai di kawasan majoriti Hindu, Mahkamah arah polis bertindak

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Walaupun memiliki kelulusan rasmi, pemilik Onali Dholkawala terus menghadapi penentangan daripada penduduk yang mencabar penjualan kepada seorang Muslim dan mendesak supaya transaksi tersebut dibatalkan.
  • Mereka mendakwa kehadiran pemilik Muslim boleh menyebabkan polarisasi dan mengganggu keseimbangan demografi di kawasan tersebut
  • Mahkamah Tinggi Gujarat mengingatkan kerajaan bahawa menjaga ketenteraman awam adalah tanggungjawab mereka.

 

AHMEDABAD – Mahkamah Tinggi Gujarat telah mengarahkan pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh seorang peniaga Muslim bagi menjalankan perniagaan di kedai miliknya yang sah di kawasan majoriti Hindu di Vadodara, sambil mengingatkan kerajaan bahawa menjaga ketenteraman awam adalah tanggungjawab mereka.

Perintah yang dikeluarkan oleh panel Hakim H D Suthar itu sekaligus memberikan kelegaan kepada pemohon, Onali Dholkawala, yang didakwa berdepan gangguan berterusan daripada penduduk setempat yang enggan membenarkannya membuka premis tersebut.

Dholkawala telah membeli kedai itu secara sah daripada dua saudara berbangsa Hindu berhampiran Champaner Darwaza pada tahun 2016.

Namun, beliau hanya berjaya mendaftarkan surat jual beli pada tahun 2020 selepas memfailkan kes di Mahkamah Tinggi, memandangkan kawasan itu tertakluk di bawah Akta Larangan Pemindahan Harta Tak Alih dan Perlindungan Penyewa dari Pengusiran di Kawasan Bergolak Gujarat 1991, yang mewajibkan kebenaran Pegawai Daerah untuk sebarang urus niaga harta di kawasan tertentu.

Walaupun memiliki kelulusan rasmi, Dholkawala terus menghadapi penentangan daripada penduduk yang mencabar penjualan kepada seorang Muslim dan mendesak supaya transaksi tersebut dibatalkan.

Mereka mendakwa kehadiran pemilik Muslim boleh menyebabkan polarisasi dan mengganggu keseimbangan demografi di kawasan tersebut.

Pada Februari 2023, Mahkamah Tinggi menolak petisyen tersebut dan mengenakan denda sebanyak Rs 25,000 ke atas setiap seorang daripada dua penduduk yang mengganggu pemilik serta menghalang beliau daripada menikmati hak atas hartanya yang dibeli secara sah.

Rayuan terhadap keputusan itu turut ditolak.

Namun, penduduk tempatan masih enggan membenarkan Dholkawala menggunakan premis tersebut. Mereka didakwa telah membuang sisa binaan di hadapan pintu kedai untuk menghalangnya dibuka.

Ekoran itu, Dholkawala sekali lagi membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi, kali ini memohon perlindungan polis bagi membolehkannya membaiki dan menggunakan kedai tersebut untuk perniagaan.

Beliau turut mengadu bahawa telah beberapa kali memohon bantuan dan perlindungan daripada pihak polis, namun tidak mendapat sebarang tindakan atau sokongan. -The Merdeka Times

Author