Terkini
Negara Barat usah ajar dunia Islam erti demokrasi, hak asasi – Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara barat tidak perlu mengajar dunia Islam mengenai makna demokrasi, hak asasi dan kemampanan pembangunan.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara barat tidak perlu mengajar dunia Islam mengenai makna demokrasi, hak asasi dan kemampanan pembangunan.
- “Kita perlu jelas dan tidak boleh ditentukan negara barat yang mahu memulakan naratif (serangan berterusan di Palestin bermula sejak tindakan ketenteraan Hamas) pada 7 Okt lalu.
- “Pemusnahan berterusan (di Palestin) berlaku sejak 1948, diikuti pencerobohan langsung ke Masjid al-Aqsa pada 1969. Malah, kini pemusnahan berterusan, sama ada infrastruktur atau manusia serta genosid. Ini yang berlaku,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.
- Anwar turut menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan syarikat berdaftar dengan Israel untuk masuk dan melakukan sebarang aktiviti di negara ini.
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara barat tidak perlu mengajar dunia Islam mengenai makna demokrasi, hak asasi dan kemampanan pembangunan.
Beliau berkata negara barat sebaliknya perlu menghentikan usaha mengawal media antarabangsa, semata-mata demi mengetengahkan naratif yang tidak tepat mengenai peperangan di Gaza, Palestin.
Perdana Menteri berkata negara barat juga perlu memperbetul naratif dan mengakui bahawa pergolakan di Palestin bermula dan berlarutan sejak 1948 dan bukannya bermula akibat serangan Hamas pada 7 Okt.
“Kita perlu jelas dan tidak boleh ditentukan negara barat yang mahu memulakan naratif (serangan berterusan di Palestin bermula sejak tindakan ketenteraan Hamas) pada 7 Okt lalu.
“Pemusnahan berterusan (di Palestin) berlaku sejak 1948, diikuti pencerobohan langsung ke Masjid al-Aqsa pada 1969. Malah, kini pemusnahan berterusan, sama ada infrastruktur atau manusia serta genosid. Ini yang berlaku,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan timbalannya Dr Zulkifli Hasan serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin, Datuk Seri Ahmad Awang.
Anwar turut menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan syarikat yang berdaftar dengan Israel untuk masuk dan melakukan sebarang aktiviti di negara ini.
Beliau berkata mereka yang menjadi kerajaan sebelum ini paling kuat menentang kezaliman Israel, namun masih mengizinkan perdagangan langsung dengan syarikat seperti berlaku di negara kita.
“Sebab itu di bawah Kerajaan Madani, keputusan dibuat sebulat suara Jemaah Menteri setuju menghentikan segala bentuk perdagangan langsung (dengan Israel).
“Kemudian orang terlibat (berkenaan) (yang) mengizinkan perdagangan langsung dengan Israel itu mencerca kita kerana ada hubungan dengan beberapa syarikat yang ada hubungan dengan Israel,” katanya.
Justeru Anwar berkata kerajaan harus menggunakan kebijaksanaan, mengetahui kekuatan dan hak serta kesempatan untuk membangunkan kekuatan dalaman, dan tidak hanya menentang semberono sehingga melemahkan seni budaya negara.
“Orang-orang yang menegur kita dalam soal perdagangan dengan mana-mana syarikat, harus menjawab mengapa pada ketika mereka terlibat dengan tampuk penguasaan mengizinkan perdagangan terus dengan (syarikat perkapalan) ZIM dan syarikat Israel, itu bagi saya isu pokok yang harus dijawab.
“Saya tidak mahu guna ruang ini hanya nak jelas hal sedemikian, tapi kita harus tekankan, tapi kita harus sepakat, satu suara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata tarikh 21 Ogos dipilih Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai Hari Masjid Sedunia, kerana tarikh itu pada tahun 1969 Masjid Al-Aqsa telah cuba dibakar oleh seorang zionis yang memusnahkan mimbar Salahuddin Al-Ayyubi.
“Justeru tujuan Muktamar Masjid Se-Malaysia sempena Hari Masjid Sedunia ini bagi menyatu umat, mengambil semangat membebas dan mempertahan Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Kira-kira 700 wakil masjid dan NGO, duta perwakilan asing, para ulama serta pemerhati dari beberapa negara hadir pada muktamar anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), dengan kerjasama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia. — BERNAMA