Terkini
Mengapa kerajaan ingin jual 30 peratus kepentingan MAHB yang menguntungkan kepada syarikat asing? – GERAKAN
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) mempersoalkan tindakan Kerajaan Madani yang ingin menjual 30 peratus kepentingan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing ketika MAHB terus mencatatkan keuntungan.
- Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk menjual saham MAHB kepada konsortium asing.
- Ini berikutan jumlah penumpang penerbangan dicatatkan MAHB pada Julai mencapai 12.4 juta orang yang menandakan ia merupakan rekod tertinggi bulanan sejak pandemik COVID-19.
- “MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta tahun lalu, dengan pegangan tunai melebihi RM1.8 bilion, dan prestasi tahun ini dijangka lebih baik daripada tahun lepas. Mengapa kerajaan ingin menjual 30 peratus kepentingan syarikat yang menguntungkan kepada syarikat asing?
- “Saya tidak kisah sekiranya Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan pegangan saham mereka dalam MAHB, tetapi jika hendak dijual kepada syarikat asing, perlu diteliti dengan lebih mendalam,” katanya menerusi kenyataan media disiarkan di Facebook di sini pada Rabu.
- Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan kritikan beberapa pihak, termasuk Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, yang menentang penyertaan syarikat pro-zionis, BlackRock menerusi GIP, sebuah firma yang bakal diambil alih BlackRock dalam konsortium bersama Khazanah dan KWSP bagi meningkatkan pegangan saham dalam MAHB.
KUALA LUMPUR — Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) mempersoalkan tindakan Kerajaan Madani yang ingin menjual 30 peratus kepentingan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing ketika MAHB terus mencatatkan keuntungan.
Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk menjual saham MAHB kepada konsortium asing.
Beliau berkata ini berikutan jumlah penumpang penerbangan dicatatkan MAHB pada Julai mencapai 12.4 juta orang yang menandakan ia merupakan rekod tertinggi bulanan sejak pandemik COVID-19.
“MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta tahun lalu, dengan pegangan tunai melebihi RM1.8 bilion, dan prestasi tahun ini dijangka lebih baik daripada tahun lepas. Mengapa kerajaan ingin menjual 30 peratus kepentingan syarikat yang menguntungkan kepada syarikat asing?
“Saya tidak kisah sekiranya Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan pegangan saham mereka dalam MAHB, tetapi jika hendak dijual kepada syarikat asing, perlu diteliti dengan lebih mendalam,” katanya menerusi kenyataan media disiarkan di Facebook di sini pada Rabu.
Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan kritikan beberapa pihak, termasuk Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, yang menentang penyertaan syarikat pro-zionis, BlackRock menerusi Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah firma yang bakal diambil alih BlackRock dalam konsortium bersama Khazanah dan KWSP bagi meningkatkan pegangan saham dalam MAHB.
Kritikan dan desakan supaya Kerajaan Madani membatalkan kerjasama itu difahamkan bermula pada Mei lalu dan ia kembali hangat susulan kematian pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh pada Julai lalu.
Ekoran itu terdapat beberapa pihak mempertikaikan pendirian kerajaan bersolidariti untuk Palestin, namun pada masa sama menjalankan kerjasama MAHB dan GIP-BlackRock.
Difahamkan, jika tawaran pengambilalihan itu mendapat persetujuan dan sokongan majoriti pemegang saham MAHB, Khazanah akan memiliki 40 peratus saham MAHB, KWSP 30 peratus saham, manakala Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP akan memegang baki 30 peratus saham.
Mengulas lanjut, Dominic Lau berkata laporan prestasi terbaru dikeluarkan MAHB menunjukkan jumlah penumpang pada Julai meningkat 7.3 peratus berbanding bulan sebelumnya dan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen di Istanbul, Turkiye juga meningkat enam peratus berbanding Jun, iaitu mencapai 3.9 juta orang.
Beliau berkata situasi itu mengukuhkan kekuatan dan kemampuan MAHB yang jelas merupakan sebuah syarikat berpotensi tinggi.
Katanya, selain itu memandangkan industri pelancongan global sedang menuju pemulihan dengan potensi pertumbuhan, MAHB pasti akan mendapat manfaat daripada pembangunan industri pelancongan dan mempunyai prospek pertumbuhan keuntungan lebih baik.
Malah, projek pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang dijangka dimulakan pada suku keempat tahun ini dikatakan tidak memerlukan suntikan dana daripada kerajaan, tetapi dibiayai sepenuhnya oleh MAHB.
“Ini menunjukkan walaupun tanpa penyertaan syarikat asing, MAHB telah membuktikan bahawa ia mempunyai prestasi kewangan yang baik,” kata Dominic Lau. — The Merdeka Times