Antarabangsa
Kumpulan anti-Islam English Defence League serang Polis UK dan Masjid Southport
Penunjuk perasaan berhaluan kanan anti-Islam daripada kumpulan English Defence League (EDL) berkonfrontasi dengan polis di Southport, barat laut England pada Selasa.
- Penunjuk perasaan berhaluan kanan anti-Islam dipercayai daripada kumpulan English Defence League (EDL) berkonfrontasi dengan polis di Southport, barat laut England pada Selasa.
- Al Jazeera melaporkan insiden itu berlaku beberapa jam selepas bandar tersebut mengadakan upacara memperingati mangsa bunuh dan cedera dalam serangan pisau di sebuah kelas tarian dan yoga kanak-kanak.
- Polis Merseyside melaporkan 22 pegawai polis cedera dalam keganasan malam Selasa dengan lapan daripada mereka mengalami kecederaan serius.
- Keganasan bermula apabila ratusan individu, kebanyakannya lelaki, mula menyasarkan sebuah masjid di Southport, membakar kenderaan, tong sampah dan menyerang kedai tempatan.
- Batu-bata dan botol dilemparkan ke arah polis yang mengaitkan perusuh berkenaan dengan EDL, iaitu sebuah kumpulan yang turut menganjurkan demonstrasi ganas menunjukkan penentangan terhadap Islam.
Penunjuk perasaan berhaluan kanan anti-Islam daripada kumpulan English Defence League (EDL) berkonfrontasi dengan polis di Southport, barat laut England pada Selasa.
Al Jazeera melaporkan insiden itu berlaku beberapa jam selepas bandar tersebut mengadakan upacara memperingati mangsa bunuh dan cedera dalam serangan pisau di sebuah kelas tarian dan yoga kanak-kanak.
Polis Merseyside melaporkan 22 pegawai polis cedera dalam keganasan malam Selasa dengan lapan daripada mereka mengalami kecederaan serius.
Keganasan bermula apabila ratusan individu, kebanyakannya lelaki, mula menyasarkan sebuah masjid di Southport, membakar kenderaan, tong sampah dan menyerang kedai tempatan.
Batu-bata dan botol dilemparkan ke arah polis yang mengaitkan perusuh berkenaan dengan EDL, iaitu sebuah kumpulan yang turut menganjurkan demonstrasi ganas menunjukkan penentangan terhadap Islam.
Pegawai tidak bertugas dan anggota bantuan dari pasukan lain turut dibawa masuk untuk memulihkan ketenangan.
“Malam ini, Polis Merseyside berdepan dengan keganasan serius di Southport,” kata Penolong Ketua Polis, Alex Goss.
Beliau turut menyatakan bahawa pegawai telah “menunjukkan … keberanian walaupun di bawah serangan berterusan dan berlanjutan”.
Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer berjanji bahawa “kuasa penuh undang-undang” akan digunakan terhadap perusuh.
“Penduduk Southport terpinga-pinga selepas kengerian yang menimpa mereka semalam.
“Mereka berhak mendapat sokongan dan penghormatan kita.
“Mereka yang merampas perhatian buat mangsa melalui keganasan dan samseng telah menghina masyarakat setempat ketika mana mereka berduka,” kata Starmer di platform X.
Terdahulu, polis menahan seorang remaja kerana membunuh dan cubaan membunuh dalam insiden tikaman di kelas tarian dan yoga tersebut, mengesahkan suspek dilahirkan di bandar Wales Cardiff dan tinggal di kampung berhampiran Southport.
“Terdapat banyak spekulasi dan hipotesis mengenai status lelaki berusia 17 tahun yang kini dalam tahanan polis dan beberapa individu menggunakan perkara ini untuk membawa keganasan dan kekacauan di jalanan kami.
“”Kami telah mengatakan bahawa orang yang ditangkap itu dilahirkan di UK dan spekulasi tidak membantu sesiapa pada masa ini,” kata Goss.
Goss dan ahli politik tempatan berkata ramai daripada mereka yang terlibat dalam keganasan pada Selasa datang daripada luar kawasan, manakala Rangkaian Masjid Wilayah Liverpool berkata sebilangan kecil cuba menggunakan insiden itu untuk menyebarkan kebencian. – The Merdeka Times