Terkini
ABIM gesa siasatan, tindakan tegas segera ke atas pemandu e-hailing hina Islam
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa siasatan mendalam dijalankan ke atas pemandu e-hailing didakwa memburukkan Islam dan Malaysia kepada pelancong dari England yang menggunakan perkhidmatannya baru-baru ini.
- Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata pihaknya maklum berkenaan video tular berkaitan pemandu e-hailing itu dan menggesa tindakan tegas dikenakan segera terhadap lelaki terbabit sekiranya dia didapati bersalah.
- Katanya, bagaimanapun tindakan individu itu tidak perlu diperbesarkan sebagai tindakan mewakili kelompok tertentu secara keseluruhan.
- “Kita perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan pendakwaan, tanpa perlu melemparkan label atau persepsi yang tidak perlu.
- “Tatkala kita konsisten menjulang martabat syiar serta dakwah Islam, kita juga mesti mengekalkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di tanah air tercinta, Malaysia,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.
- Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular baru-baru ini yang memaparkan seorang pemandu e-hailing berbangsa Cina didakwa memburukkan Islam dan Malaysia dihadapan pelancong dari England ketika mereka menggunakan perkhidmatannya.
- Pada Rabu, media melaporkan polis sedang menyiasat video tular membabitkan pemandu e-hailing tersebut.
KUALA LUMPUR — Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa siasatan mendalam dijalankan ke atas pemandu e-hailing didakwa memburukkan Islam dan Malaysia kepada pelancong dari England yang menggunakan perkhidmatannya baru-baru ini.
Naib Presidennya, Zairudin Hashim berkata pihaknya maklum berkenaan video tular berkaitan pemandu e-hailing itu dan menggesa tindakan tegas dikenakan segera terhadap lelaki terbabit sekiranya dia didapati bersalah.
Katanya, bagaimanapun tindakan individu itu tidak perlu diperbesarkan sebagai tindakan mewakili kelompok tertentu secara keseluruhan.
“Kita perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan pendakwaan, tanpa perlu melemparkan label atau persepsi yang tidak perlu.
“Tatkala kita konsisten menjulang martabat syiar serta dakwah Islam, kita juga mesti mengekalkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di tanah air tercinta, Malaysia,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular baru-baru ini yang memaparkan seorang pemandu e-hailing berbangsa Cina didakwa memburukkan Islam dan Malaysia dihadapan pelancong dari England ketika mereka menggunakan perkhidmatannya.
Berdasarkan video dirakam pelancong asing tersebut, lelaki berbangsa Cina tersebut mendakwa tidak adil baginya apabila rakyat agama lain diminta mengikuti peraturan-peraturan agama Islam.
Pemandu e-hailing itu juga mendakwa negara ini tidak mempunyai hiburan seolah-olah seperti menetap di dalam hutan selain arak dan judi juga ‘disekat’ berikutan kelompok Muslim tidak melakukannya.
Dalam video itu, lelaki terbabit berkata beliau tidak memahami pemikiran Muslim Malaysia kerana sepatutnya kelompok tersebut berseronok ketika dilahirkan di dunia.
Kenyataan individu itu bagaimanapun mengundang kecaman netizen di media sosial yang menuntut tindakan dikenakan ke atasnya dan satu laporan polis telah dibuat Dewan Pemuda PAS Gombak pada Rabu ke atas pemandu e-hailing terbabit.
Pada Rabu, media melaporkan polis sedang menyiasat video tular membabitkan pemandu e-hailing didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Malaysia kepada pelancong asing, yang videonya tular di media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya menerima laporan daripada peniaga berusia 49 tahun yang melihat video tersebut di TikTok semasa berada di rumahnya di Kempas Baharu, Johor Bahru, pada Selasa.
Razarudin berkata semakan akan dibuat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan butiran pemilik akaun dan mengenal pasti pemandu e-hailing itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. — The Merdeka Times