Terkini
Kekalkan UiTM untuk Bumiputera sahaja, pelajar bukan Bumiputera boleh ambil Parallel Pathway – Senator DAP
Senator Dr RA Lingeshwaran dari DAP tidak bersetuju dengan tawaran Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menerima kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraksnya.
- Senator Dr RA Lingeshwaran dari DAP tidak bersetuju dengan tawaran Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menerima kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraksnya.
- Dr Lingeshwaran, 37, menegaskan universiti awam itu harus terus berkhidmat kepada pelajar Bumiputera secara eksklusif, manakala pelajar bukan Bumiputera atau bukan Melayu boleh mengikuti Parallel Pathway untuk latihan kepakaran perubatan.
- Penggubal undang-undang dari DAP itu berkata, tiada keperluan membuka UiTM untuk bukan Bumiputera kerana program Parallel Pathway sudah tersedia.
- “Saya rasa kita perlu bekerjasama supaya Parallel Pathway dan program Master tempatan boleh bekerjasama dan kita lakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dipetik CodeBlue dalam laporannya, baru-baru ini.
- Membuka kemasukan ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan kerjasama UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) kepada pelatih dan graduan pembedahan kardiotoraks Parallel Pathway bukan Bumiputera sebelum ini dicadangkan kepimpinan UiTM sebagai penyelesaian kepada polemik Parallel Pathway.
- Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada Disember lalu dilaporkan menolak permohonan empat graduan perintis program pembedahan kardiotoraks Parallel Pathway untuk mendaftar sebagai pakar dalam National Specialist Register (NSR) kerana pengawal selia tidak mengiktiraf kelayakan Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Ed) dalam kelayakan Pembedahan Kardiotoraks.
KUALA LUMPUR – Senator Dr RA Lingeshwaran dari DAP tidak bersetuju dengan tawaran Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menerima kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraksnya.
Dr Lingeshwaran, 37, menegaskan universiti awam itu harus terus berkhidmat kepada pelajar Bumiputera secara eksklusif, manakala pelajar bukan Bumiputera atau bukan Melayu boleh mengikuti Parallel Pathway untuk latihan kepakaran perubatan.
“Saya fikir UiTM sedang melalui cerun berbahaya kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan UiTM dan mengalihkan perlindungan saudara saudari (kaum) Bumiputera,” kata Dr Lingeshwaran dipetik CodeBlue dalam laporannya, baru-baru ini.
Membuka kemasukan ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan kerjasama UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) kepada pelatih dan graduan pembedahan kardiotoraks Parallel Pathway bukan Bumiputera sebelum ini dicadangkan kepimpinan UiTM sebagai penyelesaian kepada polemik Parallel Pathway.
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada Disember lalu dilaporkan menolak permohonan empat graduan perintis program pembedahan kardiotoraks Parallel Pathway untuk mendaftar sebagai pakar dalam National Specialist Register (NSR) kerana pengawal selia tidak mengiktiraf kelayakan Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Ed) dalam kelayakan Pembedahan Kardiotoraks.
Mengulas lanjut, penggubal undang-undang dari DAP itu berkata, tiada keperluan membuka UiTM untuk bukan Bumiputera kerana program Parallel Pathway sudah tersedia.
“Saya rasa kita perlu bekerjasama supaya Parallel Pathway dan program Master tempatan boleh bekerjasama dan kita lakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya yang turut memuji program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN, menyifatkannya sebagai “kebanggaan negara”.
UiTM tidak ditadbir perlembagaan universiti tetapi oleh Seksyen 1A Akta Universiti Teknologi MARA 1976 yang menetapkan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyatakan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, serta kepentingan sah masyarakat lain. – The Merdeka Times