Terkini
KEB 2024: Tidak sepatutnya kaum majoriti hanya disasar miliki 30 peratus kekayaan negara
Tidak sepatutnya Bumiputera, kaum majoriti di negara ini yang mewakili lebih 60 peratus populasi Malaysia, hanya disasarkan memiliki 30 peratus daripada kekayaan negara.
- Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berharap Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) menjadi pemangkin bagi hasrat kerajaan menjadikan kekayaan Bumiputera selari peratusan populasi mereka.
- Ahmed Razman berkata kekayaan itu bukan semata-mata berkenaan ekuiti, tetapi mesti merangkumi purata gaji, pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah dan jumlah caruman EPF.
- “Kalau 66 peratus dari segi populasi sepatutnya kekayaan pun 66 peratus, bukan 30 peratus yang setakat target sekarang ini.
- “Hal ini adalah amat penting sebab, macam apa orang kata tidak patutlah, kaum yang majoriti tetapi kekayaan bukannya majoriti,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
- Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu dengan menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan bumiputera.
- Ahmed Razman juga bersetuju dengan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar bahawa pemerkasaan bumiputera perlu dilebarkan kepada sektor swasta.
KUALA LUMPUR — Tidak sepatutnya Bumiputera, kaum majoriti di negara ini yang mewakili lebih 60 peratus populasi Malaysia, hanya disasarkan memiliki 30 peratus daripada kekayaan negara.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berharap Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) menjadi pemangkin bagi hasrat kerajaan menjadikan kekayaan Bumiputera selari peratusan populasi mereka.
Ahmed Razman berkata kekayaan itu bukan semata-mata berkenaan ekuiti, tetapi mesti merangkumi purata gaji, pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah dan jumlah caruman EPF.
“Kongres Bumiputera diharapkan dapat menjadi pemangkin, pencetus untuk hasrat kerajaan menjadikan bumiputera sebagai kaum yang terbesar dari segi populasi di negara ini turut menjadi kaum mendapat limpahan kekayaan negara setaraf dengan peratusan populasi (bumiputera).
“Kalau 66 peratus dari segi populasi sepatutnya kekayaan pun 66 peratus, bukan 30 peratus yang setakat target sekarang ini.
“Hal ini adalah amat penting sebab, macam apa orang kata tidak patutlah, kaum yang majoriti tetapi kekayaan bukannya majoriti,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu dengan menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan bumiputera.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, ketika sesi rumusan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada Khamis lalu, dilaporkan sebagai berkata adalah penting dasar pemerkasaan bumiputera dilebarkan kepada sektor swasta.
Abdul Wahid berkata sekiranya dulu sektor awam menyumbang kepada separuh daripada ekonomi negara, namun pada 2023 sektor awam termasuk pelaburan dan penggunaan menyumbang hanya 17.8 peratus daripada KDNK negara, di mana selebihnya paling besar 76.2 peratus sumbangan pelaburan dan penggunaan di sektor swasta.
Ini bermakna ekonomi sektor swasta adalah 4.3 kali ganda lebih besar berbanding sektor awam, maka jika dasar pemerkasaan dan polisi hanya berfokus sektor awam ia akan menyaksikan penyertaan pemilikan dan penguasaan bumiputera akan terus menjadi rendah.
Mengulas pandangan itu, Ahmed Razman bersetuju dengan Abdul Wahid bahawa pemerkasaan bumiputera perlu dilebarkan kepada sektor swasta.
“Kerana kalau dilihatlah data ataupun statistik berkaitan sebagai contoh kekayaan, pendapatan bumiputera, kalau kita lihat dari segi pemilikan ekuiti, dari segi syarikat pemilikan bumiputera, dari segi gaji purata, pendapatan isi rumah kalau ikutkan memang jauh ketinggalan berbanding kaum lain dan ini semua disebabkan kurangnya pemerkasaan ke atas kaum bumiputera dalam sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata jika dilihat jumlah tenaga kerja di Malaysia sekitar 16 juta dan kakitangan awam hanya 1.5 juta, ini bermakna majoriti di sektor swasta dari segi pekerjaan.
Justeru, katanya, amat penting fokus diberikan kepada pemerkasaan bumiputera dalam sektor swasta. — The Merdeka Times