Connect with us

Terkini

MIMOS beri jaminan sistem MyDigital ID Selamat

MIMOS Berhad, agensi pelaksana MyDigital ID, memberi jaminan bahawa inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian yang diperkenalkan adalah selamat dan tidak akan berlaku pelanggaran atau kebocoran data pengguna.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS Berhad, Dr Saat Shukri Embong.
  • MIMOS Berhad, agensi pelaksana MyDigital ID, jamin inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian diperkenalkan selamat dan tidak berlaku pelanggaran atau kebocoran data pengguna.
  • Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS Berhad, Dr Saat Shukri Embong berkata ini memandangkan agensi itu tidak menyimpan sebarang data peribadi pengguna, sebaliknya pelayan (server) mereka berfungsi untuk memproses transaksi pengesahan seseorang individu.
  • MIMOS, katanya hanya bertindak membuat verifikasi secara dalam talian berpandukan pangkalan data kerajaan sedia ada seperti Jabatan Pendaftaran Negara sebelum keluarkan sijil digital pengguna.
  • “Pangkalan data semua di bawah jagaan kerajaan, kami (MIMOS) tidak terima dan simpan data, kami tidak simpan sijil digital pengguna, kami tidak ada punca kuasa kerana semua ini dilindungi akta,” katanya ketika sesi taklimat berkaitan MyDigital ID bersama MIMOS di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini semalam.

Putrajaya: MIMOS Berhad, agensi pelaksana MyDigital ID, memberi jaminan bahawa inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian yang diperkenalkan adalah selamat dan tidak akan berlaku pelanggaran atau kebocoran data pengguna.

Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS Berhad Dr Saat Shukri Embong berkata ini memandangkan agensi itu tidak menyimpan sebarang data peribadi pengguna, sebaliknya pelayan (server) mereka hanya berfungsi untuk tujuan memproses transaksi pengesahan seseorang individu.

MIMOS, katanya hanya bertindak untuk membuat verifikasi secara dalam talian berpandukan pangkalan data kerajaan yang sedia ada seperti Jabatan Pendaftaran Negara sebelum mengeluarkan sijil digital pengguna.

“Pangkalan data semua di bawah jagaan kerajaan, kami (MIMOS) tidak terima dan simpan data, kami tidak simpan sijil digital pengguna, kami tidak ada punca kuasa kerana semua ini dilindungi akta,” katanya ketika sesi taklimat berkaitan MyDigital ID bersama MIMOS di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini semalam.

Menjelaskan bahawa sijil digital itu unik dan hanya dimiliki pengguna menerusi peranti masing-masing, Saat Shukri berkata sekiranya berlaku kecurian identiti digital, ia mungkin disebabkan oleh pengguna yang berkongsi kata laluan peranti atau telefon mereka telah digodam.

Beliau berkata sekiranya telefon seseorang individu hilang, atau dicuri, mereka boleh terus menghubungi talian penting MIMOS bagi memohon agar sijil digital berkenaan dibatalkan, sebelum pengguna perlu membuat pendaftaran semula untuk mendapatkan sijil digital baharu.

Beliau berkata MIMOS menjadikan beberapa negara seperti Estonia, India, Singapura, Kanada dan Australia sebagai penanda aras global pembangunan identiti digital, namun MyDigital ID dihasilkan mengikut acuan, keperluan dan penggunaan teknologi tempatan dengan kerjasama universiti tempatan.

Menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ia diwujudkan secara tergesa-gesa, Saat Shukri berkata pembangunan inisiatif MyDigital ID telah dilakukan sejak 2016 apabila MIMOS menjalankan projek penyelidikan Platform Pengesahan Bersepadu sebagai sebahagian daripada Pembangunan Teknologi di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Berhubung tempoh masa pelaksanaan MyDigital ID, beliau berkata ketika ini proses pendaftaran bermula dengan anggota pentadbiran, pembuat dasar dan penjawat awam, sebelum ia diperluaskan kepada penerima bantuan kerajaan berdasarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bermula Mac tahun hadapan.

Pendaftaran untuk orang awam secara keseluruhan dijangka dimulakan pada Julai 2024.

MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menjadi individu pertama mendaftarkan diri dan memiliki identiti digital. Pada 21 Nov lepas, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada MIMOS untuk menyegerakan pelaksanaan MyDigital ID dan memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan. — BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *