Connect with us

Terkini

Rejim Israel rampas kawalan lebih luas di utara Gaza, tawan bangunan utama kerajaan

Tentera Israel merampas kawalan lebih luas di utara Gaza termasuk menawan bangunan badan perundangan wilayah itu dan ibu pejabat polisnya.

Wartawan TMT

Published

on

Rejim Israel rampas kawalan lebih luas di utara Gaza, tawan bangunan utama kerajaan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tentera Israel merampas kawalan lebih luas di utara Gaza termasuk menawan bangunan badan perundangan wilayah itu dan ibu pejabat polisnya.
  • pihak berkuasa Palestin menggesa gencatan senjata bagi memindahkan puluhan bayi baru lahir dan pesakit lain yang terperangkap di dalam hospital terbesar di Gaza ketika tentera Israel terus menggempur Hamas.
  • Di dalam beberapa bangunan yang ditawan, tentera mengangkat bendera Israel dan bendera tentera bagi meraikan kemenangan mereka.
  • Pada sidang media, Menteri Pertahanan Yoav Gallant berkata Hamas “hilang kawalan” di utara Gaza dan Israel memperoleh kemenangan besar di Gaza City.

KHAN YOUNIS, GAZA: Tentera Israel merampas kawalan lebih luas di utara Gaza termasuk menawan bangunan badan perundangan wilayah itu dan ibu pejabat polisnya.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin menggesa gencatan senjata bagi memindahkan puluhan bayi baru lahir dan pesakit lain yang terperangkap di dalam hospital terbesar di Gaza ketika tentera Israel terus menggempur Hamas.

Di dalam beberapa bangunan yang ditawan, tentera mengangkat bendera Israel dan bendera tentera bagi meraikan kemenangan mereka.

Pada sidang media, Menteri Pertahanan Yoav Gallant berkata Hamas “hilang kawalan” di utara Gaza dan Israel memperoleh kemenangan besar di Gaza City.

Ditanya mengenai jangka masa perang, Gallant berkata: “Kami bercakap mengenai bulan yang panjang, bukan satu atau dua hari.”

Seorang komander Israel di Gaza, yang hanya dikenali sebagai Lt. Kol. Gilad, berkata tenteranya berhampiran Hospital Al Shifa telah merampas bangunan kerajaan, sekolah dan bangunan kediaman di mana mereka menemui senjata dan menghapuskan pejuang.

Tentera berkata ia telah menawan badan perundangan, ibu pejabat polis Hamas dan kompaun yang menempatkan ibu pejabat perisikan tentera Hamas.

Bangunan-bangunan itu adalah simbol yang kuat, tetapi nilai strategiknya tidak jelas. Pejuang Hamas dipercayai ditempatkan di kubu bawah tanah.

Selama beberapa hari, tentera Israel mengepung Hospital Al Shifa, kemudahan yang dikatakan Hamas bersembunyi di bawahnya, menggunakan orang awam sebagai perisai untuk pangkalan perintah utamanya. Kakitangan hospital dan Hamas menafikan dakwaan itu.

Beratus-ratus pesakit, kakitangan dan orang yang berpindah terperangkap di dalam, dengan bekalan semakin berkurangan dan tiada elektrik untuk menjalankan inkubator dan peralatan menyelamatkan nyawa yang lain.

Selepas beberapa hari tanpa bilik sejuk, kakitangan bilik mayat semalam menggali kubur besar di pekarangan untuk mengebumikan lebih 120 mayat, kata pegawai.

Israel berikrar menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza selepas serangan 7 Oktober.

Kerajaan Israel mengakui ia tidak tahu apa yang akan dilakukannya dengan wilayah itu selepas kekalahan Hamas.

Serangan itu antara pengeboman paling hebat setakat abad ini – telah membawa bencana kepada 2.3 juta penduduk Palestin di Gaza.

Lebih 11,200 orang, dua pertiga daripadanya wanita dan bawah umur, telah terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah. Kira-kira 2,700 orang telah dilaporkan hilang. Kiraan kementerian tidak membezakan antara kematian orang awam dan pejuang.

Hampir keseluruhan penduduk Gaza memasuki dua pertiga selatan wilayah kecil itu, yang mana keadaan semakin merosot dengan pengeboman di sana berterusan.

Kira-kira 200,000 melarikan diri ke utara dalam beberapa hari kebelakangan ini, kata PBB semalam walaupun berpuluh-puluh ribu dipercayai masih kekal.

Agensi PBB untuk pelarian Palestin berkata kemudahan penyimpanan bahan apinya di Gaza kosong dan ia akan menamatkan operasi bantuan tidak lama lagi, termasuk membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan yang terhad dari Mesir untuk lebih 600,000 orang yang berlindung di sekolah dan kemudahan lain di Mesir.

“Tanpa bahan api, operasi kemanusiaan di Gaza akan berakhir. Ramai lagi orang akan menderita dan mungkin akan mati,” kata Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini.

Israel berulang kali menolak membenarkan bahan api masuk ke Gaza, mendakwa ia akan dialihkan oleh Hamas untuk kegunaan tentera. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Author

Terkini

Tunggakan RM14.04 juta, Prestasi kutipan yuran pengajian UIAM kurang memuaskan – LKAN

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendapati prestasi kutipan yuran pengajian UIAM kurang memuaskan dengan tunggakan berjumlah RM14.04 juta yang melebihi 180 hari masih belum berjaya dikutip setakat 31 Julai 2023.

Wartawan TMT

Published

on

Foto : Gambar sekadar hiasan.
  • Daripada jumlah itu, pelajar luar negara tanpa tajaan merekodkan hutang tertinggi iaitu 5,016 orang dengan tunggakan berjumlah RM9.17 juta manakala penghutang pelajar luar negara dengan tajaan seramai 531 orang dengan jumlah RM1.12 juta.
  • Bagi pelajar tempatan, jumlah penghutang ialah 13,613 orang dengan jumlah keseluruhan RM3.75 juta melibatkan 10,176 pelajar tanpa tajaan manakala bakinya mendapat tajaan.
  • UIAM memaklumkan mereka telah melaksanakan sekatan penyerahan transkrip akademik kepada pelajar yang mempunyai tunggakan hutang mulai 14 Mac 2024 dan akan memperkenalkan dasar sifar hutang semasa semester satu sesi pengajian 2024/2025.

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendapati prestasi kutipan yuran pengajian UIAM kurang memuaskan dengan tunggakan berjumlah RM14.04 juta yang melebihi 180 hari masih belum berjaya dikutip setakat 31 Julai 2023.

Menurut Bernama, daripada jumlah itu, pelajar luar negara tanpa tajaan merekodkan hutang tertinggi iaitu 5,016 orang dengan tunggakan berjumlah RM9.17 juta manakala penghutang pelajar luar negara dengan tajaan seramai 531 orang dengan jumlah RM1.12 juta.

Bagi pelajar tempatan, jumlah penghutang ialah 13,613 orang dengan jumlah keseluruhan RM3.75 juta melibatkan 10,176 pelajar tanpa tajaan manakala bakinya mendapat tajaan.

Menjawab isu hutang tersebut , UIAM memaklumkan mereka telah melaksanakan sekatan penyerahan transkrip akademik kepada pelajar yang mempunyai tunggakan hutang mulai 14 Mac 2024 dan akan memperkenalkan dasar sifar hutang semasa semester satu sesi pengajian 2024/2025.

LKAN dalam laporan tersebut turut menyentuh bilangan pelajar tempatan dan luar negara yang berdaftar di UIAM adalah kurang berbanding penawaran bagi tempoh 2020 hingga Julai 2023.

Ia melibatkan penawaran bagi peringkat pengajian Asasi, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah, dengan hanya 25,939 pelajar tempatan berdaftar daripada 39,322 tawaran dikeluarkan, manakala bagi pelajar luar negara, 1,701 pelajar berdaftar berbanding 3,808 tempat ditawarkan.

“Prestasi pengambilan pelajar kurang memuaskan. Pendaftaran pelajar tempatan dan luar negara hanya mencatatkan 66 peratus dan 44.7 peratus. Justeru, pendapatan daripada yuran pengajian tidak dapat menampung perbelanjaan operasi UIAM,“ menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

UIAM dalam maklum balasnya menyatakan pendaftaran kurang dari penawaran adalah disebabkan calon turut menerima tawaran daripada institusi lain yang menawarkan tajaan biasiswa dalam dan luar negara, manakala peratusan pendaftaran pelajar luar negara yang rendah kerana penularan pandemik COVID.- The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending