Antarabangsa
UNGA: Hanya 12 negara sokong AS bantah gencatan senjata di Gaza
Amerika Syarikat (AS) mendapat ‘malu besar dan tersisih’ apabila hanya 12 negara menyertai Washington dan Israel dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menentang usul gencatan senjata demi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lancar di Semenanjung Gaza.
- Amerika Syarikat (AS) mendapat ‘malu besar dan tersisih’ apabila hanya 12 negara menyertai Washington dan Israel dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
- Usul yang dikemukakan oleh Jordan diluluskan di New York dengan mendapat 120 undian berbanding 14 yang menentang, serta 45 negara lain berkecuali.
- Keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan sokongan langsung daripada negara kuasa besar, termasuk Perancis, United Kingdom (UK) dan Sepanyol yang enggan menyertai Washington.
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendapat ‘malu besar dan tersisih’ apabila hanya 12 negara menyertai Washington dan Israel dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menentang usul gencatan senjata demi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lancar di Semenanjung Gaza.
Satu jam selepas Israel memperluaskan serangan di Gaza, usul yang dikemukakan oleh Jordan diluluskan di New York dengan mendapat 120 undian berbanding 14 yang menentang, serta 45 negara lain berkecuali.
Keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan sokongan langsung daripada negara kuasa besar, termasuk Perancis, United Kingdom (UK) dan Sepanyol yang enggan menyertai Washington.
Antara negara yang menyokong AS adalah Fiji, Tonga, Marshall Islands, Micronesia, Nauru dan Papua New Guinea.
Menjelang undian usul tersebut, Jordan berikrar untuk memaksimumkan sokongan terhadap Palestin dengan menggesa gencatan senjata dilakukan segera, selain menyokong supaya semua tebusan dibebaskan dengan selamat.
Namun, Kanada yang mendapat sokongan AS menyatakan usul Jordan itu tidak menyeluruh kerana negara berkenaan tidak menyebut nama Hamas, sebaliknya mengecam semua serangan dan keganasan terhadap rakyat Palestin serta penduduk Israel.
Jordan juga tidak menjelaskan mengenai tebusan yang ditawan Hamas.
Apabila Kanada membuat pindaan usul dengan menyebut nama Hamas dan penduduk Israel yang dijadikan tebusan, usul itu mendapat undian 88 berbanding 55 dengan 27 negara Eropah menyokongnya.
Perkara itu menjadikan semua negara anggota PBB terpaksa membuat pilihan, sama ada menyokong usul Jordan atau usul menamakan Hamas sebagai pengganas yang menyebabkan konflik berlaku.
Dalam pada itu, Duta Jordan ke PBB, Ayman Safadi menyifatkan kemenangan undian usul tersebut sebagai ‘suara tegakkan keadilan’ menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Sumber: Utusan Malaysia