Connect with us

Terkini

Orang ramai dinasihat berhati-hati perubahan monsun – Bomba

Jangan pandang remeh terhadap keupayaan atau ‘kuasa’ air termasuk cuba menyeberangi air yang naik secara mendadak akibat hujan lebat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Orang ramai dinasihat berhati-hati perubahan monsun – Bomba
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Jangan pandang remeh terhadap keupayaan atau ‘kuasa’ air termasuk cuba menyeberangi air yang naik secara mendadak akibat hujan lebat.
  • Itu pesanan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.
  • Menurut Nor Hisham, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada.
  • “Selain itu, kita juga khuatir akan berlaku fenomena ‘kepala air’. Apapun, kita telah maklumkan kepada semua (JBPM) negeri dan semua balai (bomba) untuk bersiap sedia dengan keadaan-keadaan ini agar dapat mengurangkan impak (bencana) terhadap masyarakat,” ujar beliau. 

BATU KAWAN: Jangan pandang remeh terhadap keupayaan atau ‘kuasa’ air termasuk cuba menyeberangi air yang naik secara mendadak akibat hujan lebat.

Itu pesanan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Menurut Nor Hisham, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada.

“Kena ‘alert’ (peka terhadap sebarang bentuk amaran yang dikeluarkan). Maksudnya macam sekarang, MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) pun banyak keluarkan amaran-amaran dan ramalan-ramalan cuaca yang agak tepat untuk kita ikuti.

“Selain itu, kena sentiasa ‘alert’ dan pantau paras air (termasuk sungai) di kawasan persekitaran (tempat tinggal). Dalam hal ini, boleh rujuk kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) juga.

“Ketiganya, jika berlaku banjir kilat ini (sebagai contoh), orang sentiasa berasa selamat untuk menduga air sama ada cuba menyeberang (termasuk dengan kenderaan) dan sebagainya. Jaga anak masing-masing untuk elak daripada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Perbarisan Penghargaan untuk Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Mokhtar di ibu pejabat JPBM negeri di sini, semalam.

Saadon, 60, menamatkan perkhidmatannya secara wajib semalam selepas 37 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba termasuk selama lebih lima tahun sebagai Pengarah JBPM Pulau Pinang.

Mengulas lanjut mengenai fenomena cuaca tidak menentu ketika ini berikutan peralihan angin monsun barat daya kepada timur laut bermula Selasa lalu pula, kata Nor Hisham, pihaknya telah mengarahkan anggota bomba di semua negeri untuk bersiap siaga.

“Berdasarkan ‘trend-trend’ yang pernah berlaku sebelum ini, ada dua senario utama yang kami khuatir akan berulang.

“Berlaku intensiti hujan lebat yang bertembung dengan air pasang (laut). Selalunya, ia berlaku antara pukul 4 hingga 7 malam dan ‘trend’ itu juga dikhuatiri akan menyebabkan kawasan-kawasan berdekatan pantai terutamanya akan dilanda banjir.

“Keduanya pula ialah banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar terutamanya apabila intensiti (hujan lebat) itu terlalu tinggi seperti yang berlaku beberapa hari lepas di Pahang termasuk Raub dan Maran kemudian di Lembah Klang semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam), saya dimaklumkan ia turut berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang.

“Selain itu, kita juga khuatir akan berlaku fenomena ‘kepala air’. Apapun, kita telah maklumkan kepada semua (JBPM) negeri dan semua balai (bomba) untuk bersiap sedia dengan keadaan-keadaan ini agar dapat mengurangkan impak (bencana) terhadap masyarakat,” ujar beliau. 

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *