Terkini
RUU Kawalan Produk Merokok: Tiada halangan untuk individu 18 tahun ke atas menyumbang ‘statistik kematian’
Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tidak menghalang mana-mana individu berumur lebih 18 tahun untuk merokok, sekalipun hanya untuk menyumbang kepada statistik kematian pra-matang melibatkan 27,000 rakyat Malaysia saban tahun akibat merokok.
- Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tidak menghalang mana-mana individu berumur lebih 18 tahun untuk merokok, sekalipun hanya untuk menyumbang kepada statistik kematian pra-matang melibatkan 27,000 rakyat Malaysia saban tahun akibat merokok.
- Demikian kenyataan sarkastik Doktor Farmasi Klinikal (PharmD), Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed yang menegaskan RUU itu juga tidak menghalang kelompok berkenaan untuk merokok sekiranya mereka masih mahu meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit berkaitan tabiat merokok.
- “Mahkamah dah putuskan tiada pelanggaran hak asasi bagi larangan merokok kepada generasi lahir 2007 dan seterusnya kerana ini melindungi mereka dan rakyat keseluruhan daripada bahaya produk tembakau,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada hari ini.
- Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dilaporkan membantah cadangan memperkenalkan RUU Kawalan Produk Merokok.
KUALA LUMPUR — Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tidak menghalang mana-mana individu berumur lebih 18 tahun untuk merokok, sekalipun hanya untuk menyumbang kepada statistik kematian pra-matang melibatkan 27,000 rakyat Malaysia saban tahun akibat merokok.
Demikian kenyataan sarkastik Doktor Farmasi Klinikal (PharmD), Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed yang menegaskan RUU itu juga tidak menghalang kelompok berkenaan untuk merokok sekiranya mereka masih mahu meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit berkaitan tabiat merokok.
“Mahkamah dah putuskan tiada pelanggaran hak asasi bagi larangan merokok kepada generasi lahir 2007 dan seterusnya kerana ini melindungi mereka dan rakyat keseluruhan daripada bahaya produk tembakau,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dilaporkan membantah cadangan memperkenalkan RUU Kawalan Produk Merokok.
Wan Saiful berkata ia melambangkan keinginan kerajaan mengawal gaya hidup dan menyekat kebebasan memilih rakyat serta mewujudkan kemungkinan undang-undang lain digunakan untuk mengawal kebebasan rakyat.
Katanya, sekiranya akta itu diluluskan, maka 100 peratus rokok dalam negara akan menjadi rokok seludup kerana produk berkenaan tidak lagi dapat dijual secara sah.
Ia sekali gus menyebabkan kandungan dalam rokok itu tidak dapat dikawal oleh kerajaan hingga mengundang bahaya lebih besar dari hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Haniki berkata isu rokok seludup melibatkan kastam di mana ia perlu menangani ketirisan dan rasuah dengan efektif.
“Rokok seludup itu isu kastam – perlu tangani ketirisan dan rasuah dengan efektif. Kalau Singapura boleh, kenapa Malaysia gagal?
“Apa guna wakil rakyat dan ahli politik yang tidak prihatin kesihatan rakyat, sebaliknya menjadi jurucakap industri tembakau?” katanya yang dikenali lantang menyuarakan isu vape di Malaysia. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Mohamad Haniki Nik Mohamed