Terkini
Ajaran AMMA menyeleweng, bercanggah dengan syarak – Mufti Perak
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak ke-231 yang bersidang pada 12 April lalu memutuskan bahawa ajaran Noor Hisham Bin Alias iaitu Allah Muhammad Muhammad Allah (AMMA) di Manjung adalah menyeleweng dan bercanggah dengan syarak.
- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak ke-231 bersidang pada 12 April lalu memutuskan ajaran Noor Hisham Bin Alias iaitu Allah Muhammad Muhammad Allah (AMMA) di Manjung menyeleweng dan bercanggah dengan syarak.
- Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan dicapai setelah Jawatankuasa Fatwa meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan dikemukakan berhubung ajaran tersebut.
- Katanya, ajaran itu mengandungi elemen-elemen seperti menterjemah kalimah syahadah dengan ‘Tiada Nyata Hanya Allah’ tanpa penjelasan sebenar, mendakwa ajaran Islam sebenar diseleweng pada 850 masihi dan berpandangan ayat-ayat al-Quran mungkin tersalah ketika menulis kerana ia ditulis pada kulit-kulit serta tulang-tulang binatang ketika itu.
- Wan Zahidi berkata, ajaran AMMA menimbulkan persoalan adakah nabi lembab kerana tidak tahu membaca dan menulis pada usia 40 tahun.
- “Justeru, orang Islam hendaklah menjauhi ajaran Noor Hisham Bin Alias (AMMA) dan dilarang berpegang serta beramal dengannya. Mana-mana orang yang telah terlibat dengan pegangan dan pengamalan ajaran ini hendaklah bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.
IPOH – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak ke-231 yang bersidang pada 12 April lalu memutuskan bahawa ajaran Noor Hisham Bin Alias iaitu Allah Muhammad Muhammad Allah (AMMA) di Manjung adalah menyeleweng dan bercanggah dengan syarak.
Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan itu dicapai setelah Jawatankuasa Fatwa meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan berhubung ajaran tersebut.
Katanya, ajaran itu mengandungi elemen-elemen seperti menterjemah kalimah syahadah dengan ‘Tiada Nyata Hanya Allah’ tanpa penjelasan sebenar, mendakwa ajaran Islam sebenar diseleweng pada 850 masihi dan berpandangan ayat-ayat al-Quran mungkin tersalah ketika menulis kerana ia ditulis pada kulit-kulit serta tulang-tulang binatang ketika itu.
“Mendakwa terdapat dua al-Quran iaitu al-Quran hidup yang ditafsir sebagai alam mini yang berada dalam diri manusia dan al-Quran Masyaf dan berhujah sekiranya al-Quran sekarang sangat penting, sudah tentu ia ditulis dan dibukukan oleh nabi.
“Mendakwa nabi tidak dilantik sebagai rasul, walhal baginda telah tahu kewujudan Allah ketika dibersihkan hatinya pada zaman kanak-kanak kerana baginda hanya tahu dan belum mengenal Allah (kombinasi Tahu dan Kenal),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Wan Zahidi berkata, ajaran AMMA juga menimbulkan persoalan adakah nabi lembab kerana tidak tahu membaca dan menulis pada usia 40 tahun.
Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan ajaran AMMA adalah menyeleweng dan bercanggah dengan syarak berdasarkan Ahli Sunah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
“Justeru, orang Islam hendaklah menjauhi ajaran Noor Hisham Bin Alias (AMMA) dan dilarang berpegang serta beramal dengannya. Mana-mana orang yang telah terlibat dengan pegangan dan pengamalan ajaran ini hendaklah bertaubat kepada Allah SWT.
“Semua bentuk pengajaran, pengamalan, penerbitan, promosi, pengedaran bahan-bahan ajaran Noor Hisham Bin Alias (AMMA) melalui apa-apa medium hendaklah disekat, dihenti dan diharamkan serta-merta,” katanya.
Sumber: Kosmo