Terkini
Bidang perubatan perlu adaptasi penggunaan teknologi AI – Dr Zaliha
Bidang perubatan perlu mengadaptasikan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) (AI) terutamanya pengimejan perubatan yang memerlukan tahap ketepatan yang tinggi.
- Bidang perubatan perlu mengadaptasikan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) (AI) terutamanya pengimejan perubatan yang memerlukan tahap ketepatan yang tinggi.
- Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tidak menafikan teknologi AI sendiri mempunyai ciri-ciri kemampuan untuk menganalisa imej berkaitan perubatan pada tahap tepat dan konsisten.
- “Ia dapat menyediakan maklumat diagnostik yang penting, membolehkan pengesanan awal penyakit, panduan prosedur perubatan dan pemantauan perubatan yang tepat,” ujarnya.
KUCHING: Bidang perubatan perlu mengadaptasikan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) (AI) terutamanya pengimejan perubatan yang memerlukan tahap ketepatan yang tinggi.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tidak menafikan teknologi AI sendiri mempunyai ciri-ciri kemampuan untuk menganalisa imej berkaitan perubatan pada tahap tepat dan konsisten.
“Teknologi AI dalam perubatan moden kini bukan sahaja membawa kepada diagnosis yang lebih tepat malah dapat meningkatkan penjagaan dan kualiti hidup pesakit.
“Ia dapat menyediakan maklumat diagnostik yang penting, membolehkan pengesanan awal penyakit, panduan prosedur perubatan dan pemantauan perubatan yang tepat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah sempena pelancaran rasmi Persidangan Asia-Australasia Ke-24 Ahli Teknologi Radiologi (AACRT) 2023 di sini hari ini.
Tambahnya lagi, masyarakat perlu mengiktiraf dan mengakui inovasi dan idea baharu dalam bidang perubatan untuk membina asas masa depan yang lebih cerah dalam bidang perubatan.
“Dalam kita membayangkan kemudahan kesihatan yang terus berkembang maju, perkara pertama yang kita perlu lakukan ialah menyesuaikan diri dengan mengambil cara baharu dan berkesan untuk mencapai wawasan negara yang sihat,” ujarnya.
Justeru itu, persidangan yang dianjurkan itu diharap dapat dimanfaatkan oleh para peserta sebagai platform berkongsi maklumat mengenai teknologi radiologi dan membincangkan idea baharu masa depan perubatan yang dicirikan oleh keselamatan, kemampanan dan pendekatan yang mementingkan pesakit.
Sumber: Utusan Malaysia