Terkini
Tular video kutuk UMNO, Ahli biasa DAP digantung keahlian – Anthony Loke
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, klip video melibatkan seorang ahli parti itu yang didakwa mengutuk UMNO dan sedang tular dalam media sosial bukan dirakam semasa tempoh pilihan raya negeri (PRN), tetapi pada Jun lalu.
- Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, klip video melibatkan seorang ahli parti itu didakwa mengutuk UMNO dan tular dalam media sosial bukan dirakam semasa tempoh pilihan raya negeri (PRN), tetapi pada Jun lalu.
- Beliau berkata, kenyataan dibuat ahli berstatus biasa itu tidak mewakili pandangan daripada seluruh pimpinan DAP.
- Setelah menjalankan siasatan dalaman, beliau mengarahkan status keahlian individu itu digantung serta-merta sementara Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan susulan.
- “Pucuk pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat. Saya menyeru semua penyokong PH dan BN tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
- Sejak semalam, tular klip video memaparkan individu yang berucap dalam bahasa Mandarin yang didakwa mengeluarkan kenyataan negatif terhadap UMNO.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, klip video melibatkan seorang ahli parti itu yang didakwa mengutuk UMNO dan sedang tular dalam media sosial bukan dirakam semasa tempoh pilihan raya negeri (PRN), tetapi pada Jun lalu.
Beliau berkata, kenyataan dibuat ahli yang berstatus biasa itu tidak mewakili pandangan daripada seluruh pimpinan DAP.
Setelah menjalankan siasatan dalaman, beliau telah mengarahkan supaya status keahlian individu itu digantung serta-merta sementara Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan susulan.
“Klip video lama ini sengaja ditularkan oleh pihak tertentu pada waktu kritikal ini bertujuan mematahkan momentum kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Pucuk pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat. Saya menyeru semua penyokong PH dan BN tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak semalam, tular klip video memaparkan individu yang berucap dalam bahasa Mandarin yang didakwa mengeluarkan kenyataan negatif terhadap UMNO.
Setakat ini tiada maklumat lanjut berkenaan individu itu, tetapi difahamkan, acara tersebut merupakan program majlis makan malam anjuran cawangan DAP.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh di Facebooknya kemudian mendesak Siew Fook mencari individu tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap maki-hamun yang dilempar terhadap UMNO.
Beliau berkata, kenyataan kononnya UMNO meminta maaf kepada DAP adalah tidak benar dan kurang ajar kerana beliau sendiri telah secara terbuka mendesak DAP yang memohon maaf kepada UMNO.
Sumber: Utusan Malaysia