Terkini
Kepala babi diletakkan di hadapan bilik gerakan PN DUN Juasseh
Jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di sini dikejutkan dengan penemuan kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakannya pada pagi ini.
- Jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di sini dikejutkan dengan penemuan kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakannya pada pagi ini.
- Calon PN bagi DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi.
- Dipercayai kepala babi turut diletakkan di sebuah kediaman salah seorang pegawainya di daerah ini.
- Katanya, kejadian itu mungkin tindakan orang terdesak dan menganggap sebahagian daripada cabaran, namun pada masa sama tidak boleh menuduh sesiapa kerana mahu menjaga sensitiviti banyak pihak.
- Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan.
KUALA PILAH: Jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di sini dikejutkan dengan penemuan kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakannya pada pagi ini.
Calon PN bagi DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurutnya, selain di bilik gerakan, dipercayai kepala babi turut diletakkan di sebuah kediaman salah seorang pegawainya di daerah ini.
“Macam-macam hal berlaku dan kita sudah menjangkakan, mungkin lebih teruk daripada itu pun akan berlaku tetapi tidak mengapalah kita kekal tenang, saya fikir ini mungkin tindakan-tindakan untuk mengalihkan tumpuan menghadapi Pilihan Raya Negeri yang tinggal berbaki tiga hari sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Katanya, kejadian itu mungkin tindakan orang terdesak dan menganggap sebahagian daripada cabaran, namun pada masa sama tidak boleh menuduh sesiapa kerana mahu menjaga sensitiviti banyak pihak.
Eddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, berkata perkara itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang.
Dalam pada itu, Eddin yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah itu turut mengingatkan supaya jentera partinya kekal positif.
“Dalam ceramah malam tadi, saya menasihatkan jentera parti kalau kita nampak bendera pihak lawan itu tumbang kita sama-sama naikkan. Kita mahu satu budaya politik yang sihat dan positif.
“Politik itu memerlukan kematangan, takkan zaman semakin beredar politik masa sama tetapi jika ada sesetengah orang masih nak gunakan cara begitu ia sangat memalukan agama dan bangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan.
Sumber: Berita Harian