Politik
PN usul sidang khas Parlimen bincang AS mahu ambil alih Gaza

- “Kita bincangkan soal masa depan Palestin kerana apa yang diumumkan Trump semalam umpama mengisytiharkan perang terhadap umat Islam dan semua pencinta kemanusiaan.” – Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).
- “Jadi ini adalah satu perkara yang amat besar kerana ia menentukan masa depan bukan saja geopolitik Asia Barat, tetapi juga dunia Islam dan pendirian moral Malaysia selaku pejuang Palestin dalam menangani isu ini,” – Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).
KUALA LUMPUR – Susulan kenyataan provokatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain, pembangkang hari ini mendesak supaya satu sidang khas Parlimen diadakan dengan segera bagi membincangkan isu masa depan Palestin.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), berkata kenyataan Presiden AS, menunjukkan suasana sudah menjadi semakin ‘gila’.
Saifuddin berkata, rancangan Trump itu bukan saja akan membawa kepada pembersihan etnik sepenuhnya, malah akan mengubah geopolitik dunia.
“Sebelum ini, kami pernah minta diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan soal Gaza dan Palestin. Ini lebih gila dah suasananya.
“Ini pembersihan etnik sepenuhnya, yang tidak pernah berlaku dalam dunia. Ia akan mengubah geopolitik dunia, bukan saja di rantau sana,” katanya membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Trump, semalam berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Trump mendedahkan rancangannya yang mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sidang khas Parlimen berkenaan, yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Dewan Rakyat juga boleh diadakan bersekali dengan Dewan Negara.
“Kita bincangkan soal masa depan Palestin kerana apa yang diumumkan Trump semalam umpama mengisytiharkan perang terhadap umat Islam dan semua pencinta kemanusiaan,” katanya.
Seorang lagi wakil rakyat PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata beliau sudah menghantar satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini.
Tegasnya yang bertindak sebagai Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Perikatan Nasional (PN), sidang khas itu mustahak supaya kerajaan Malaysia dapat menyatakan pendirian terhadap dasar luar terkini AS.
“PN mendesak kerajaan untuk menyegerakan usul ini dengan satu sidang khas. Ia untuk membicarakan dengan panjang lebar berkenaan apa yang Presiden Donald Trump umumkan dengan (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu, berhubung tindakan AS untuk mengusir rakyat Gaza ke Jordan dan Mesir.
“Jadi ini adalah satu perkara yang amat besar kerana ia menentukan masa depan bukan saja geopolitik Asia Barat, tetapi juga dunia Islam dan pendirian moral Malaysia selaku pejuang Palestin dalam menangani isu ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini. – The Merdeka Times
