Terkini
‘Saya tidak lari, Hulu Kelang kampung saya’, kata Azmin Ali
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin pengundi akan memberikan mandat kepadanya sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Hulu Kelang.
- Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin pengundi akan memberikan mandat kepadanya sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Hulu Kelang.
- Jelas Azmin ketika ditemui media, kawasan itu adalah tempat beliau membesar serta mendapatkan mandat dalam politik sejak tahun 1999.
- Mengulas mengenai kerusi terbabit yang berada di bawah Parlimen Gombak yang menyaksikan kekalahannya pada PRU15 lalu, jelas Azmin, beliau yakin rakyat di Hulu Kelang akan berpihak kepada PN.
GOMBAK – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin pengundi akan memberikan mandat kepadanya sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Hulu Kelang.
Jelas Azmin ketika ditemui media, kawasan itu adalah tempat beliau membesar serta mendapatkan mandat dalam politik sejak tahun 1999.
“Saya yakin… kita saksikan gelombang tidak puas hati rakyat atas kegagalan kerajaan di Putrajaya menangani masalah rakyat terutama kos sara hidup dan inflasi.
“Saya pun muda juga, persoalannya rakyat ingin melihat kepimpinan apa yang dibawa (oleh kerajaan). (Mengenai) pesaing saya daripada PH, sudah tentu mereka (rakyat) melihat kerajaan PH tidak ada rekod kejayaan selepas lapan bulan diberi tugas ini.
“Saya percaya rakyat di Hulu Kelang, Gombak dan Selangor akan melihat masa depan negeri di bawah PN,” jelasnya.
Mengulas mengenai kerusi terbabit yang berada di bawah Parlimen Gombak yang menyaksikan kekalahannya pada PRU15 lalu, jelas Azmin, beliau yakin rakyat di Hulu Kelang akan berpihak kepada PN.
“Saya reda atas kekalahan lalu, kita lakukan muhasabah… mungkin ada kelemahan kita harus perbaiki, namun di Hulu Kelang, saya (sebenarnya) telah diberikan mandat dalam politik seawal tahun 1999.
“Ketika dipilih menjadi Ahli Parlimen Gombak, DUN Hulu Kelang dalam Parlimen Gombak. Jadi tidak timbul soal lari seperti didakwa oleh musuh-musuh politik saya.
“Yang lari dari kawasan politik adalah dari Permatang Pauh ke Port Dickson dan Tambun itu lari. Tapi Hulu Kelang merupakan kampung saya, saya dibesarkan di Kampung Klang Gate Baru, ibu bapa saya (antara orang) pertama meneroka kampung tersebut,” katanya lagi.
Mohamed Azmin berdepan dengan calon daripada Pakatan Harapan (PH) Juwairiya Zulkifli yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada pilihan raya lalu, DUN Hulu Kelang dimenangi calon Amanah, Saari Sungib mewakili PH.
Saari menang dengan majoriti 15,349 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Ahmad dan calon Pas, Farhan Kamalul Hysham.
Sumber: Astro Awani