Komuniti
Warga UK sifatkan hubungan antara kaum di Malaysia lebih baik dari negara asalnya
Seorang warga United Kingdom (UK) yang bekerja di negara ini menyifatkan Malaysia jauh lebih baik dari segi hubungan antara kaum berbanding negara asalnya.
- Andrew Martin, pengasas bersama sebuah syarikat penerbitan berita teknologi terkemuka di Asia Tenggara, menyifatkan Malaysia jauh lebih baik dari segi hubungan antara kaum berbanding negara asalnya.
- Rakyat Malaysia menunjukkan perpaduan berbanding perpecahan di tempat kerja walaupun mempunyai perbezaan latar belakang agama, kaum dan budaya.
- Sikap setiakawan, ambil berat dan semangat kesatuan rakyat Malaysia antara sebab kenapa beliau memilih bekerja di negara ini, kata Andrew dalam postingnya di akaun Linkedin.
KUALA LUMPUR – Seorang warga United Kingdom (UK) yang bekerja di negara ini menyifatkan Malaysia jauh lebih baik dari segi hubungan antara kaum berbanding negara asalnya.
Andrew Martin yang juga pengasas bersama dan penerbit kumpulan Asia Online Publishing Group (AOPG), syarikat penerbitan berita teknologi terkemuka di Asia Tenggara, berkata demikian dalam postingnya di akaun Linkedin.
“Mungkin saya akan kelihatan seperti seorang yang naif. Tapi berdasarkan pengalaman saya, Malaysia agak bagus dari segi perkauman,” katanya dalam hantaran di laman jaringan profesional itu.
Beliau juga membandingkan masalah perkauman dan perpecahan antara penduduk di Malaysia dan UK.
“Sudah semestinya saya sedar akan masalah perkauman yang berlaku di sini, tapi kalau nak dibandingkan dengan negara asal saya… Perpecahan yang wujud di sana jauh lebih susah untuk dikawal,” katanya.
Andrew yang juga seorang pakar digital itu menyifatkan rakyat malaysia menunjukkan perpaduan berbanding perpecahan di tempat kerjanya.
“Saya seorang sahaja pekerja di sana dari barat atau Mat Salleh,” katanya berseloroh dalam catatannya itu.
Merujuk kepada tempat beliau bekerja, Andrew berkata terdapat lebih ramai pekerja wanita berbanding lelaki dan mereka memegang jawatan pengurus.
“Mereka semua mempunyai latar belakang yang berbeza dari segi budaya, agama dan kepercayaan,” katanya.
Andrew juga menyifatkan rakan sekerjanya terdiri daripada mereka yang rajin berusaha, periang, berbakat, saling memahami antara satu sama lain dan bekerjasama menyiapkan sesuatu tugasan.
“Karenah lucu, setiakawan, ambil berat dan semangat kesatuan mereka adalah sebab kenapa saya memilih untuk bekerja di negara ini dan saya berasa amat beruntung,” jelas Andrew.
Warga UK itu juga meraikan semangat kesatuan yang ada pada majoriti rakyat Malaysia. – The Merdeka Times
Sumber: LinkedIn Andrew Martin