Terkini
Gagal tempatkan pekerja asing, Syor syarikat dikompaun RM30,000 setiap pekerja
Kesemua syarikat yang didapati gagal menempatkan pekerja asing di sektor pekerjaan selepas membawa mereka masuk ke negara ini perlu dikenakan kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

- Saranan itu dikemukakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengatakan permasalahan tersebut memberi kesan kepada semua industri dalam negara, khususnya perladangan.
- “Kalau bawa 500 pekerja, darab dengan 500, kalau 1,000 (pekerja), darab dengan 1,000, barulah boleh guna benda ini, kalau tak ada kerja, kita hantar balik guna kos ini, kalau tidak kerajaan kena tanggung kos,” katanya dipetik Berita Harian ketika menghadiri Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Putrajaya, hari ini.
- Pada 25 Disember lalu, media melaporkan 171 lelaki warga Bangladesh berjalan kaki secara beramai-ramai menuju ke Balai Polis Bayu Damai, Johor kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan kerana mendakwa tidak mendapat tawaran kerja daripada ejen dalam tempoh tiga hingga enam bulan lalu.
KUALA LUMPUR — Kesemua syarikat yang didapati gagal menempatkan pekerja asing di sektor pekerjaan selepas membawa mereka masuk ke negara ini perlu dikenakan kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.
Saranan itu dikemukakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengatakan permasalahan tersebut memberi kesan kepada semua industri dalam negara, khususnya perladangan.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, jumlah kompaun dikenakan itu boleh digunakan semula untuk menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini dibiayai kerajaan.
“Saya nak cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu sepatutnya dikompaun RM20,000 sehingga RM30,000 seorang.
“Kalau bawa 500 pekerja, darab dengan 500, kalau 1,000 (pekerja), darab dengan 1,000, barulah boleh guna benda ini, kalau tak ada kerja, kita hantar balik guna kos ini, kalau tidak kerajaan kena tanggung kos,” katanya dipetik Berita Harian ketika menghadiri Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Putrajaya, hari ini.
Pada 25 Disember lalu, media melaporkan 171 lelaki warga Bangladesh berjalan kaki secara beramai-ramai menuju ke Balai Polis Bayu Damai, Johor kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan kerana mendakwa tidak mendapat tawaran kerja daripada ejen dalam tempoh tiga hingga enam bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan, Hussin Zamora dilaporkan berkata, kumpulan lelaki berusia 19 hingga 43 tahun itu mempunyai dokumen sah dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana tinggal lebih masa di negara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada Sabtu lalu, memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan agensi berkaitan termasuk memanggil ejen bertanggungjawab dalam pengambilan 171 pekerja asing warga Bangladesh tersebut.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata pihaknya setakat ini masih menyiasat kes pekerja warga Bangladesh itu yang mendakwa ejen mereka gagal mendapatkan pekerjaan di negara ini seperti dijanjikan. — The Merdeka Times
