Terkini
Persatuan majikan tidak setuju diwajibkan bayar elaun kepada pelajar praktikal
Menurut Presiden Persatuan-Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain, sesetengah syarikat tidak membuat bayaran elaun latihan industri kerana pelatih tidak dibebankan dengan tugas berat seperti pekerja tetap.
- Menurut Presiden Persatuan-Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain, sesetengah syarikat tidak membuat bayaran elaun latihan industri kerana pelatih tidak dibebankan dengan tugas berat seperti pekerja tetap.
- Kini, timbul isu mahasiswa yang menjalani latihan industri tidak dibayar elaun malah lebih teruk apabila tenaga mereka digunakan semaksimum mungkin oleh sesetengah majikan tanpa diberi bayaran yang setimpal.
- Pelatih perlu menganggap latihan industri sebagai platform untuk belajar sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.
- “Pelatih industri harus menganggap program latihan sebagai peluang pembelajaran dan bukannya cara untuk mendapatkan wang. Syarikat biasanya menempatkan mereka di jabatan yang sesuai dengan bidang pengajian dan kelayakan berkaitan,” katanya.
Menurut Presiden Persatuan-Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain, sesetengah syarikat tidak membuat bayaran elaun latihan industri kerana pelatih tidak dibebankan dengan tugas berat seperti pekerja tetap.
Latihan industri ditakrifkan sebagai penempatan pelajar di sebuah organisasi untuk menjalankan aktiviti latihan praktikal yang diselia dalam industri terpilih mengikut tempoh masa yang ditetapkan sebelum dianugerahkan Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.
Latihan ini penting sebagai pendedahan awal kepada mahasiswa sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.
Namun, kebelakangan ini, timbul isu mahasiswa yang menjalani latihan industri tidak dibayar elaun malah lebih teruk apabila tenaga mereka digunakan semaksimum mungkin oleh sesetengah majikan tanpa diberi bayaran yang setimpal.
Isu ini nyata mengundang perhatian ramai pihak terutamanya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyarankan agar majikan memberi sedikit imbuhan kepada pelajar intern bagi menampung perbelanjaan harian.
MEF Tidak Setuju Wajibkan Majikan Bayar Elaun Latihan Industri, Perlu Lihat Kemampuan Syarikat
Menurut Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, persatuan itu tidak bersetuju apabila majikan yang terdiri dari syarikat swasta diwajibkan membayar elaun kepada pelatih.
Bagi beliau, amalan bayaran elaun kepada pelatih industri telah lama wujud namun jumlahnya berdasarkan kepada kemampuan syarikat tersebut.
“Kebiasaannya elaun latihan yang ditawarkan kepada pelatih industri adalah antara RM500 hingga RM1,800 sebulan, bergantung kepada kemampuan syarikat untuk membayar elaun,” katanya.
Malah, beliau juga memaklumkan bahawa saiz firma turut mempengaruhi kemampuan majikan dalam membuat bayaran kepada pelatih industri.
“Firma besar biasanya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dibandingkan dengan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) yang cenderung menggunakan program latihan industri sebagai salah satu strategi mereka untuk menarik bakat,” ujarnya.
Baginya, sekiranya pelatih menunjukkan prestasi yang bagus, mereka akan ditawarkan peluang pekerjaan di syarikat terbabit.
“Ada pelatih industri ditawarkan peluang pekerjaan tetap selepas penamatan program latihan jika berjaya menunjukkan kebolehan dalam tempoh tersebut,” ujarnya lagi.
Pelatih Industri Tidak Dibebani Dengan Tugas Yang Berat, Perlu Anggap Latihan Industri Sebagai Peluang Pembelajaran
Menurut Syed Hussain, pelatih perlu menganggap latihan industri sebagai platform untuk belajar sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.
“Pelatih industri harus menganggap program latihan sebagai peluang pembelajaran dan bukannya cara untuk mendapatkan wang. Syarikat biasanya menempatkan mereka di jabatan yang sesuai dengan bidang pengajian dan kelayakan berkaitan,” katanya.
Malah, beliau juga memaklumkan bahawa sesetengah syarikat tidak membuat bayaran elaun latihan industri kerana pelatih tidak dibebankan dengan tugas berat seperti pekerja tetap.
Kerajaan Perlu Beri Budi Bicara, Bayaran Elaun Tingkatkan Kos Sumber Manusia
Bagi beliau, syarikat perlu diberikan budi bicara terutamanya dalam menentukan penempatan pelatih industri.
“MEF juga berpendapat, kerajaan perlu memberi budi bicara kepada majikan untuk menentukan penempatan pelatih industri kerana syarikat lebih mengetahui kemahiran dan bakat yang diperlukan mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, majikan telahpun menggalas tanggungjawab yang besar apabila terlibat dalam program latihan industri. Pemberian elaun juga dilihat hanya akan meningkatkan kos operasi syarikat.
“Majikan memikul tugas penting apabila mengambil bahagian dalam program latihan industri. Ia merupakan kos tambahan kepada mereka kerana bayaran elaun latihan industri dan kos lain meningkatkan kos sumber manusia organisasi itu,” ujar beliau.
Terdahulu, isu mengenai pembayaran elaun industri kepada mahasiswa mula hangat diperkatakan apabila seorang pengguna Twitter membuat ciapan gambar berserta ayat yang tertulis ‘intern bukan buruh percuma’.
Hantaran itu nyata mengundang reaksi pelbagai pihak. Rata-rata menyokong agar pelatih industri diberi elaun latihan yang setimpal bagi menampung perbelanjaan harian.
Namun, pada masa yang sama ada juga yang mengkritik dan menyifatkan tempoh latihan industri adalah tempoh menuntut ilmu bukan untuk mencari wang.
Sumber: Buzzkini