Connect with us

Terkini

Kenaikan elaun doktor ‘on-call’ masih belum dibayar, KKM hanya buat janji kosong – Pegawai Perubatan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Kenaikan elaun pegawai perubatan ‘on-call’ masih belum dilaksanakan.
  • Pegawai perubatan meminta kenaikan elaun antara 30 dan 40 peratus.
  • Kementerian Kesihatan didakwa hanya membuat janji kosong.

Seorang pegawai perubatan yang bertugas di Lembah Klang menyelar kerajaan kerana masih belum melaksanakan kenaikan elaun untuk doktor ‘on-call’ yang dijanjikan walaupun  kenaikan dijanjikan itu amat sedikit.

Pegawai perubatan sebelum ini memohon kenaikan antara 30 dan 40 peratus untuk semua kakitangan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad baru-baru ini membuat satu pengumuman mengenai kenaikan elaun bagi doktor ‘on-call’.

Bagaimanapun pengumuman itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pekerja kesihatan seluruh negara.

Beliau telah mengumumkan kenaikan antara RM55 dan RM65 menjadikan elaun untuk shif ‘on-call’ dinaikkan dari RM255 kepada RM265.

Di atas kertas, tindakan itu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan namun realitinya kadar RM9.16 sejam naik hanya RM10 dan RM11.

Langkah ini dilihat sebagai satu penghinaan dan menunjukkan betapa Kementerian Kesihatan (KKM) amat terpisah dengan realiti kewangan  yang dihadapi doktor.

Lebih parah, kenaikan dicadangkan masih belum dilaksana kerana doktor masih dibayar pada  kadar asal RM200 untuk hari hari biasa dan RM220 untuk ‘on-call’ pada hujung minggu.

Perbezaan ketara antara kenyataan awam dan realiti mencetuskan persoalan serius mengenai kejujuran dan akauntabiliti Menteri Kesihatan berkenaan.

“Kenapa janji kosong? Adakah janji-janji lopong ini bertujuan untuk memujuk hati tenaga kerja yang kecewa,” soal pegawai perubatan yang identitinya tidak diketahui itu.

Kegagalan KKM untuk menunaikan janji bukan sahaja melemahkan kepercayaan kakitangannya tetapi juga menunjukkan pengabaian berterusan kementerian terhadap kebajikan pekerjanya.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Abu Bakar Suleiman melabel sistem kesihatan negara sebagai masih berada ditakuk abad yang lalu.

Beliau menyifatkan KKM sebagai satu bencana yang beroperasi dalam lubang simpanan gandum dan ia gagal belajar dari pandemik Covid-19  lalu.

Akibat daripada ketidakupayaan kerajaan yang amat ketara, sektor penjagaan kesihatan mengalami isu ‘brain drain‘.

Saban tahun ribuan doktor bertindak meningggalkan sektor awam untuk bekerja di luar negara atau sertai sektor swasta kerana bayaran gaji yang lebih bagus dan suasana bekerja yang lebih baik.

Menurut pegawai perubatan yang menulis di CodeBlue, pengumuman kenaikan elaun baru-baru ini merupakan simptom isu yang lebih besar iaitu kurangnya komitmen yang jujur untuk perbaiki kebajikan pekerja-pekerja kesihatan.

Elaun ‘on-call’ yang diterima doktor walaupun dengan kenaikan yang dicadangkan, tidak banyak membantu dari segi tekanan fizikal dan mental dialami doktor. Ini bukan sahaja isu keadilan tetapi juga keselamatan pesakit.

Doktor yang keletihan lebih terdedah kepada melakukan kesilapan yang boleh membawa kesan buruk kepada pesakit.

Di negara luar seperti Singapura, Brunei, United Kingdom dan Australia umpamanya dibayar seadil-adilnya dan diberi sistem sokongan yang cukup.

Di Malaysia, doktor dikatakan dieksploit. Mereka tidak dibayar setimpalnya.

Pegawai perubatan itu turut menyimpulkan, tindakan KKM mengabaikan kebajikan doktor dan kegagalannya melaksanakan reformasi seperti dijanji bukan sekadar satu kelalaian pentadbiran tetapi juga satu pengkhianatan kepada kakitangan kesihatan.- The Merdeka Times

Author