Terkini
Isi rumah boleh guna sehingga RM250 Skim Perubatan Madani
Fasa rintis Skim Perubatan Madani yang akan dilaksanakan di 10 buah daerah dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
- Fasa rintis Skim Perubatan Madani yang akan dilaksanakan di 10 daerah dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
- Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penerima manfaat dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara automatik boleh mendapatkan rawatan percuma melalui skim itu mulai hari ini di pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berdaftar.
- Menurut beliau, mereka boleh mendapatkan beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah sudah habis iaitu sebanyak RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.
- “Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan Madani bagi penerima STR dan tanggungannya dan hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapatkan rawatan di GP yang berdaftar di bawah skim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PUTRAJAYA: Fasa rintis Skim Perubatan Madani yang akan dilaksanakan di 10 buah daerah dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penerima manfaat dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara automatik boleh mendapatkan rawatan percuma melalui skim itu mulai hari ini di pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berdaftar.
Menurut beliau, mereka boleh mendapatkan beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah sudah habis iaitu sebanyak RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.
“Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan Madani bagi penerima STR dan tanggungannya.
“Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapatkan rawatan di GP yang berdaftar di bawah skim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Skim Perubatan Madani bermula di 10 buah daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) sehingga 31 Disember ini.
Jelas Dr. Zaliha, ia merupakan satu inisiatif rintis kerajaan bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan B40, terutamanya dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di GP.
Katanya, perkhidmatan percuma yang ditawarkan seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan.
“Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan merangkumi rawatan bagi demam selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi.
“Bagaimanapun pakej rawatan tidak merangkumi rawatan bukan akut, namun boleh didapati di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
KKM melalui ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan Madani menjelang September depan.
Ketika ini sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP dijalankan dan dijangka sebanyak 10 sesi lagi akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran GP berdaftar untuk skim ini.
Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan MADANI termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth, selaku pelaksana skim berkenaan iaitu di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau hubungi talian 03-8687 2525.
Sumber: Utusan Malaysia