Connect with us

Terkini

KKM diminta segera selesai isu kekurangan jururawat hospital swasta – APHM

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) diminta bertindak segera membantu memenuhi keperluan hospital swasta yang menghadapi masalah kekurangan jururawat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

KKM diminta segera selesai isu kekurangan jururawat hospital swasta – APHM
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) diminta bertindak segera membantu memenuhi keperluan hospital swasta menghadapi masalah kekurangan jururawat.
  • Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata perkara berkenaan sudahpun dibangkitkan beberapa tahun kebelakangan terutamanya selepas dunia dan negara dilanda pandemik COVID-19.
  • Katanya, rawatan tidak dapat diberikan kepada pesakit di hospital swasta kerana tenaga kerja jururawat kurang.
  • “Oleh itu, persatuan berharap agar keputusan dan pelaksanaan kerajaan untuk memperhalusi dan mempertimbangkan perkara ini perlu dilaksanakan secepat mungkin dari segi implimentasi,” katanya kepada BH.

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) diminta bertindak segera membantu memenuhi keperluan hospital swasta yang menghadapi masalah kekurangan jururawat.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata perkara berkenaan sudahpun dibangkitkan beberapa tahun kebelakangan terutamanya selepas dunia dan negara dilanda pandemik COVID-19.

Katanya, rawatan tidak dapat diberikan kepada pesakit di hospital swasta kerana tenaga kerja jururawat kurang.

“Sekarang ini, ramai pesakit yang berkemampuan ingin menerima rawatan di hospital swasta tetapi untuk meningkatkan jumlah wad atau katil, kita perlukan jururawat.

“Oleh itu, persatuan berharap agar keputusan dan pelaksanaan kerajaan untuk memperhalusi dan mempertimbangkan perkara ini perlu dilaksanakan secepat mungkin dari segi implimentasi,” katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan KKM sedang mempertimbangkan keperluan mengambil jururawat dari luar negara bagi memenuhi keperluan hospital swasta yang mengalami masalah kekurangan jururawat.

Mengulas lanjut, Dr Kuljit berkata isu kekurangan tenaga kerja jururawat ini amat serius dimana didapati ramai pesakit terpaksa menunggu untuk mendapatkan katil.

“Kadang-kadang mereka terpaksa menunggu antara enam sehingga lapan jam atau lebih daripada itu untuk mendapatkan katil. Keadaan seperti ini bukan hanya berlaku di bandar malah juga di luar bandar.

“Kita tidak hantar mereka (pesakit) ke hospital kerajaan sebab di sana pun penuh selain keadaan akan jadi lebih susah untuk merawat pesakit lain,” katanya.

Dalam pada itu, Kuljit berkata, pihaknya menyambut baik langkah proaktif kerajaan dalam mendengar masalah yang dihadapi kerana perkara itu sudah dibincangkan untuk satu tempoh yang lama.

Katanya, untuk jangka panjang, kerajaan perlu melaksanakan pelbagai inisatif dan insentif bagi meningkatkan minat golongan muda untuk menceburi bidang kejururawatan.

“Saya diberitahu, tidak ramai yang ingin mengambil jurusan ini kerana ramai yang tidak minat.

Oleh itu, kita perlu cari jalan untuk tingkatkan minat golongan muda menceburi bidang ini,” katanya.

Selain itu, Dr Kuljit berkata insentif lebih juga perlu diberikan kepada golongan muda terutamanya dari segi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jika dilihat sekarang, pinjaman PTPTN agak kurang bagi pelajar yang mengambil jurusan kejururawatan. Kalau kerajaan dapat tingkatkan pinjaman ini, kemungkinan ada peningkatan daripada golongan muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author