Antarabangsa
Enggan patuh pemakaian lelaki, remaja transgender rela tidak hadir majlis graduasi
Seorang remaja lelaki transgender enggan menghadiri majlis graduasi sekolahnya kerana mahu kekal berpakaian seperti wanita, demikian lapor The Pink News.
- Seorang remaja lelaki transgender enggan menghadiri majlis graduasi sekolahnya kerana mahu kekal berpakaian seperti wanita.
- Harrison County School District, Mississippi, Amerika Syarikat (AS) mengarahkannya untuk mematuhi etika pemakaian graduan lelaki iaitu berbaju putih dan seluar slek hitam.
- Peguam kakitangan ACLU, Linda Morris memfailkan tuntutan diskriminasi terhadap Sekolah Menengah Harrison Central pada 18 Mei lalu bagi pihak remaja itu (dinamakan sebagai LB dalam pemfailan mahkamah).
- Bagaimanapun, Hakim daerah Mississippi, Taylor McNeel tidak menghalang perintah sekolah dalam keputusan pada Jumaat (19 Mei 2023).
Seorang remaja lelaki transgender enggan menghadiri majlis graduasi sekolahnya kerana mahu kekal berpakaian seperti wanita, demikian lapor The Pink News.
Pelajar berusia 17 tahun dari Mississippi, Amerika Syarikat (AS) itu diarahkan Harrison County School District untuk berpakaian seperti lelaki meskipun dia ingin dikenali sebagai wanita.
Menurut American Civil Liberties Union (ACLU), ibu bapa remaja itu diberitahu Supritendan Daerah, Mitchell King yang dia perlu mematuhi etika pemakaian lelaki.
Mengikut dasar daerah, graduan lelaki perlu memakai baju putih dan seluar slek hitam, manakala graduan wanita perlu memakai gaun putih.
Ekoran insiden itu, peguam kakitangan ACLU, Linda Morris memfailkan tuntutan diskriminasi terhadap Sekolah Menengah Harrison Central pada 18 Mei lalu bagi pihak remaja itu (dinamakan sebagai LB dalam pemfailan mahkamah).
Hakim daerah Mississippi, Taylor McNeel tidak menghalang perintah sekolah dalam keputusan pada Jumaat (19 Mei 2023) yang Linda sifatkan sebagai “mengecewakan kerana ia tidak masuk akal”.
“Klien kami dipermalukan dan dihina atas sebab-sebab yang jelas mendiskriminasi, dan keluarganya dinafikan peristiwa penting sekali dalam seumur hidup dalam hidup anak perempuan mereka,” kata Linda.
“Tiada sesiapa yang perlu dipaksa untuk terlepas graduasi mereka kerana jantina mereka”.
Susulan itu, ACLU mengesahkan yang remaja terbabit lebih memilih untuk tidak menghadiri majlis yang berlangsung pada Sabtu meskipun layak memperolehi diploma.
Peguam Harrison County School District, Wynn Clark menulis dalam kertas mahkamah yang mengambil bahagian dalam majlis graduasi adalah secara sukarela dan tidak dilindungi Perlembagaan.
Menurutnya, remaja itu “memenuhi kelayakan untuk menerima diploma”, namun menolak arahan untuk memakai “seluar, stokin dan kasut seperti budak lelaki”.
Sumber: The Pink News