Terkini
Cyprus tarik balik kewarganegaraan Jho Low
Kabinet Cyprus semalam memutuskan untuk menarik balik status kewarganegaraan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
- Kabinet Cyprus semalam memutuskan untuk menarik balik status kewarganegaraan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
- Menurut laporan The Cyprus Mail, sumber mengesahkan pembatalan pasportnya dan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan syor Menteri Dalam Negeri, Nicos Nouris.
- Nouris berhubung dengan Interpol untuk mendapatkan maklumat tambahan berkenaan ahli perniagaan itu, yang membolehkan kewarganegaraan Cyprus Jho Low ditarik balik.
- Jho Low dilaporkan menyumbang kira-kira 310,000 euro (RM1.5 juta) kepada pemimpin gereja Kristian Ortodoks Cyprus, Ketua Biskop, mendiang Chrysostomos II, yang kemudian memberi sokongan untuknya kepada Kementerian Dalam Negeri.
NICOSIA: Kabinet Cyprus semalam memutuskan untuk menarik balik status kewarganegaraan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut laporan The Cyprus Mail, sumber mengesahkan pembatalan pasportnya dan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan syor Menteri Dalam Negeri, Nicos Nouris.
Laporan itu turut memetik Cyprus News Agency (CNA) sebagai berkata, keputusan itu dibuat selepas Menteri Dalam Negeri menerima maklumat baru berkenaan Jho Low.
Sebelum ini, pada Mac lalu, kerajaan Cyprus memutuskan tiada bukti yang mencukupi untuk membatalkan kerakyatan Jho Low.
Namun, Nouris kemudian berhubung dengan Interpol untuk mendapatkan maklumat tambahan berkenaan ahli perniagaan itu, yang membolehkan kewarganegaraan Cyprus Jho Low ditarik balik.
Difahamkan, Jho Low, yang mendalangi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didakwa tanpa kehadiran di mahkamah Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), mendapat status warganegara Cyprus pada 2015.
The Cyprus Mail melaporkan, walaupun dilabelkan ‘individu berisiko tinggi’, ada pihak di Cyprus memfailkan permohonan kewarganegaraan bagi pihak Jho Low.
Ia juga mendakwa dia memindahkan hampir 6 juta euro (RM29.4 juta) ke sebuah akaun di Bank of Cyprus selain membeli sebuah banglo di tepi pantai di Ayia Napa pada harga 5 juta euro (RM24.5 juta) dan mendapat kewarganegaraan beberapa hari kemudian.
Jho Low juga dilaporkan menyumbang kira-kira 310,000 euro (RM1.5 juta) kepada pemimpin gereja Kristian Ortodoks Cyprus, Ketua Biskop, mendiang Chrysostomos II, yang kemudian memberi sokongan untuknya kepada Kementerian Dalam Negeri.
Pada 2019, program pemberian kerakyatan menerusi pelaburan Cyprus – yang digelar sebagai skim ‘pasport emas’ – mula diperhatikan.
Kerajaan negara itu kemudian menubuhkan jawatankuasa siasatan yang kemudian mendapati 53 peratus daripada 6,779 status kewarganegaraan yang diberikan antara 2007 hingga 2020 tidak mengikut undang-undang.
Kes Jho Low adalah antara isu utama jawatankuasa siasatan Kabinet yang diketuai bekas Haklim Mahkamah Agung, Myron Nicolatos, berhubung skim ‘pasport emas’ yang bermula pada 2007, sehingga ia ditamatkan pada Ogos 2020. – AGENSI
Sumber: Berita Harian