- “Kenyataan ini adalah FITNAH. Kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk peruntukan oleh Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sejak sekian lama dan saya TIDAK PERNAH mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar fitnah tersebut.
- “Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini sangat bahaya, ianya mampu mengganggu-gugat keselamatan dan keamanan rakyat di dalam negara,” – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
- Saifuddin turut memuat naik tangkap layar hantaran yang memaparkan wajah beliau dalam satu poster dengan kenyataan, “Saya meluluskan kewarganegaraan pendatang Cina, itu hak saya rakyat tidak boleh pertikaikan, saya yang berkuasa bukan rakyat.”
KUALA LUMPUR — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan kononnya beliau meluluskan kewarganegaraan pendatang Cina sebagaimana tersebar di media sosial.
Saifuddin menegaskan kenyataan tersebut merupakan satu fitnah berikutan kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub sejak sekian lama.
Katanya, pada sepanjang tahun lalu, beliau banyak memberi penjelasan berhubung perkara itu, namun masih ada pihak membuat fitnah dengan permainan sentimen berbaur isu raja, kaum dan agama (3R).
“Kenyataan ini adalah FITNAH. Kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk peruntukan oleh Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sejak sekian lama dan saya TIDAK PERNAH mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar fitnah tersebut.
“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini sangat bahaya, ianya mampu mengganggu-gugat keselamatan dan keamanan rakyat di dalam negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Saifuddin turut memuat naik tangkap layar hantaran yang memaparkan wajah beliau dalam satu poster dengan kenyataan, “Saya meluluskan kewarganegaraan pendatang Cina, itu hak saya rakyat tidak boleh pertikaikan, saya yang berkuasa bukan rakyat.”

Foto: Tangkap layar hantaran dikongsikan Saifuddin Nasution di hantaran Facebook-nya.
Justeru, beliau menggesa rakyat dan netizen mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul dan tepat, serta mengesahkannya terlebih dahulu sebelum berkongsikan maklumat tersebut kepada pihak lain.
“Saya ingatkan juga bahawa menularkan fitnah dan berita palsu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya yang turut berkongsikan pautan hantaran beliau sebelum ini mengenai isu pemberian kewarganegaraan.

Foto: Tangkap layar hantaran Instagram Saifuddin Nasution.
Saifuddin pada November 2024 dilaporkan menafikan dakwaan kononnya 1.2 juta pelancong rakyat China masuk ke Malaysia dan tidak keluar semula.
Sebaliknya, beliau berkata jumlah pelancong republik itu dengan pas lawatan sosial yang masih berada dalam negara ini adalah seramai 84,817 orang dengan jumlah ketibaan pelancong China bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 30 November lalu adalah 8,491,653 orang dan pelepasan keluar 8,012,294 orang.
Baki 479,359 orang tidak keluar dari Malaysia merangkumi individu pas jangka panjang seramai 129,005, diusir atas kesalahan di bawah akta tertentu seramai 5,359 dan permohonan pas khas berjumlah 141,783 selain individu yang berada dalam Depoh Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia. — The Merdeka Times