Ekonomi
“Prestasi daya saing Malaysia lebih baik berbanding Indonesia” – Pakar ekonomi negara
Malaysia mempunyai asas untuk kembali melonjakkan ekonomi negara berbanding negara jiran seperti Indonesia, demikian kenyataan dikeluarkan pakar ekonomi negara, Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali bagi menjawab persoalan tentang penilaian dunia terhadap Malaysia.

- Pakar ekonomi negara, Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali memaklumkan keputusan beberapa penilaian indeks menunjukkan prestasi Malaysia lebih baik berbanding Indonesia dari pelbagai aspek.
- Namun, beliau kesal dengan sifat rakyat Malaysia yang suka memburuk-burukkan negara sendiri.
- Beliau menyeru supaya rakyat yakin dengan kekuatan dimiliki berbanding menghabiskan masa berbincang dan memikirkan perkara buruk.
KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai asas untuk kembali melonjakkan ekonomi negara berbanding negara jiran seperti Indonesia, demikian kenyataan dikeluarkan pakar ekonomi negara, Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali bagi menjawab persoalan tentang penilaian dunia terhadap Malaysia.
“Sangat jelas penilaian dunia terhadap Malaysia adalah jauh lebih baik dari Indonesia,” kata beliau susulan mendapati perkhabaran yang menyatakan ekonomi Indonesia semakin baik dari Malaysia.
Beliau turut memetik beberapa aspek penilaian seperti World Competitiveness Index 2022, Complexity Index 2022, OECD PISA Score 2018, Global Innovation Index 2021, Global Food Security Index 2021 dan Corruption Perception Index 2021 dan rata-ratanya memaparkan prestasi Malaysia yang jauh lebih memberangsangkan dari Indonesia.
Malangnya, Azlan mendapati rakyat Malaysia yang seolah-olah lebih suka memburuk-burukkan negara sendiri.
Beliau menyifatkan rakyat negara ini telah hilang keyakinan dan merasakan Malaysia semakin merudum dalam banyak konteks.
“Lebih buruk, seolah membenci negara sendiri. Terperangkap dengan serangan persepsi yang memburukkan negara sendiri,” kesalnya.
Azlan yang juga merupakan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara menyeru supaya rakyat Malaysia bangkit dan yakin dengan keupayaan yang dimiliki.
“Kita terlalu banyak menghabiskan masa berfikir dan berbincang perkara buruk dan tidak baik hingga kita lupa dan tidak percaya dengan kekuatan sendiri”, jelasnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa inilah saatnya untuk rakyat Malaysia fokus pada kekuatan dan turut memohon maaf jika luahannya mengguris hati mana-mana pihak sebelum mengakhiri perkongsiannya di Facebook.
Sumber: Facebook page Noor Azlan Ghazali
