Terkini
Tidak perlu wajib pelitup muka di sekolah – MMA
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak cadangan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah untuk membantu membendung penyebaran wabak Covid-19.
- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak cadangan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah untuk membantu membendung penyebaran wabak Covid-19.
- Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata apa lebih penting menggalakkan pelajar membasuh atau sanitasi tangan mereka.
- Katanya, guru harus memainkan peranan mengingatkan pelajar untuk kerap membasuh atau sanitisi tangan mereka dan mengelak daripada menyentuh muka.
- “Hanya pelajar mempunyai gejala atau tidak sihat boleh memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan.
PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak cadangan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah untuk membantu membendung penyebaran wabak Covid-19.
Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata apa lebih penting menggalakkan pelajar membasuh atau sanitasi tangan mereka.
Katanya, guru harus memainkan peranan mengingatkan pelajar untuk kerap membasuh atau sanitisi tangan mereka dan mengelak daripada menyentuh muka.
“Tiada keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah.
“Hanya pelajar mempunyai gejala atau tidak sihat boleh memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan.
Muruga mengulas laporan Kementerian Kesihatan mempertimbangkan mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah susulan peningkatan kes Covid-19 yang berkait dengan varian XBB.1.16 atau dikenali sebagai Arcturus.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata beliau akan mengadakan pertemuan segera bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei ini.
Muruga berkata, sebagai langkah pencegahan sekolah boleh meminta guru dan pelajar membuat ujian saringan Covid-19 sehari sebelum mereka kembali ke sekolah.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk menggalak anak mereka menjaga kebersihan dan berkata, sistem imun yang kuat adalah pertahanan tubuh terhadap penyakit.
Katanya, vaksinasi, pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan bukan satu-satunya komponen dalam menguruskan Covid-19.
“Kita juga perlu mengambil langkah untuk menjaga kesihatan, kunci utama yang masih belum dapat dititikberatkan,” katanya.
Sebanyak 12 kes varian Arcturus dikesan dengan enam di Lembah Klang dan bakinya di Sarawak.
Sumber: Free Malaysia Today