Terkini
Kerajaan digesa tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, Reformasi Kesihatan segera
Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa kerajaan agar menyegerakan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
- Kedua-dua suruhanjaya itu dapat menyegerakan langkah memperkasakan kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di Malaysia secara amnya.
- KKM dan Kerajaan Malaysia digesa agar segera mengambil langkah proaktif dalam melindungi kebajikan keseluruhan staf kesihatan kontrak di Malaysia.
- Sekretariat juga memohon wakil Hartal Doktor Kontrak bagi menganggotai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan oleh pihak kementerian.
- Ini bagi membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.
- Penglibatan wakil dapat memberi lebih makna dalam perbincangan dengan mewakili suara dasar pihak yang berkepentingan.
KUALA LUMPUR – Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa kerajaan agar menyegerakan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Kedua-dua suruhanjaya tersebut dapat menyegerakan langkah bagi memperkasakan kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di Malaysia secara amnya.
“Kami memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Malaysia agar segera mengambil langkah proaktif dalam melindungi kebajikan keseluruhan staf kesihatan kontrak di Malaysia.
“Ini merangkumi isu jaminan pekerjaan perkembangan kerjaya dan juga kelebihan lain yang dinikmati oleh staf kesihatan lain yang berstatus tetap, tanpa berat sebelah.
“Kami berpegang teguh dengan keyakinan bahawa sekiranya isu ini ditangani dengan baik, kerajaan mampu untuk menarik lebih ramai tenaga kerja profesional yang berkaitan dengan Sektor Kesihatan di Malaysia,” katanya.
Tulis kenyataan itu lagi, ia secara tidak langsung mampu memberi jaminan keutuhan dan kejayaan reformasi Sistem Kesihatan di Malaysia.
Selain itu, pihaknya juga memohon penyertaan wakil dari Sekretariat Hartal Doktor Kontrak bagi menganggotai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (High Level Committee) yang ditubuhkan oleh pihak kementerian.
Ia bagi membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.
“Kami percaya bahawa dengan penglibatan wakil dari Sekretariat Hartal Doktor Kontrak dapat memberi lebih makna dalam perbincangan dengan mewakili suara dasar yang berkepentingan, yang dihadapi oleh kami semua,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan doktor kontrak yang dikenali Mogok Doktor Malaysia didakwa tidak berganjak daripada keputusan untuk meneruskan mogok melibatkan 10,000 sehingga 13,000 petugas kesihatan awam.
Bagaimanapun, kebanyakan tinjauan di seluruh negara melaporkan tiada mogok dilakukan sekitar 3 April hingga 5 April seperti yang diuar-uarkan. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Hartal Doktor Kontrak