Terkini
Petisyen bantah pengecualian cecair dan gel nikotin dari Akta Racun 1952 dilancarkan
Satu petisyen dilancar berhubung bantahan terhadap pengecualian cecair dan gel nikotin dalam rokok elektronik dan vape daripada Akta Racun 1952.
- Petisyen dimulakan sejak 5 April lalu itu menyatakan, ‘Katakan “TIDAK” kepada pengecualian cecair & gel nikotin dalam rokok elektronik dan vape daripada Akta Racun! Bantu kami untuk selamatkan anak anda daripada produk beracun ini.’
- Ia turut dilancarkan di media sosial Public Health at University of Malaya untuk mendapatkan pembabitan orang awam berhubung isu terbabit, yang digerakkan Penuntut Sarjana Kesihatan Awam UM.
- Mereka menyasarkan 1,000 tandatangan dan merancang akan menyerahkannya kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
- Tinjauan The Merdeka Times di laman berkenaan, setakat jam 11:30 pagi ini menunjukkan petisyen itu mendapat jumlah tandatangan sebanyak 664.
- Rata-rata individu yang menandatangani petisyen tersebut meninggalkan komen menggesa agar generasi muda diselamatkan daripada terjebak dengan ketagihan vape mahupun rokok.
KUALA LUMPUR — Satu petisyen dilancar berhubung bantahan terhadap pengecualian cecair dan gel nikotin dalam rokok elektronik dan vape daripada Akta Racun 1952.
Petisyen dimulakan sejak 5 April lalu itu menyatakan, ‘Katakan “TIDAK” kepada pengecualian cecair & gel nikotin dalam rokok elektronik dan vape daripada Akta Racun! Bantu kami untuk selamatkan anak anda daripada produk beracun ini.’
Ia turut dilancarkan di media sosial Public Health at University of Malaya untuk mendapatkan pembabitan orang awam berhubung isu terbabit, yang digerakkan Penuntut Sarjana Kesihatan Awam UM.
Mereka menyasarkan 1,000 tandatangan dan merancang akan menyerahkannya kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Tinjauan The Merdeka Times di laman berkenaan, setakat jam 11:30 pagi ini menunjukkan petisyen itu mendapat 664 jumlah tandatangan.
Dalam pada itu, rata-rata individu yang menandatangani petisyen tersebut meninggalkan komen menggesa agar generasi muda diselamatkan daripada terjebak dengan ketagihan vape mahupun rokok.
Ada di antara komen menegaskan, kemaslahatan generasi masa hadapan perlu menjadi keutamaan kerajaan kerana tiada guna mendapat keuntungan seketika namun akhirnya perlu menanggung kerugian yang begitu lama.
Pada Jumaat lalu, dilaporkan sekumpulan Penuntut Sarjana Kesihatan Awam UM membantah tindakan kerajaan mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952.
Mereka antaranya menyifatkan tindakan itu sebagai langkah ke belakang berbanding negara-negara jiran yang mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape.
Terdahulu, dilaporkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan warta menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952 sekali gus mengetepikan keputusan Lembaga Racun sebelum ini.
Beliau juga dilaporkan akan membentangkan RUU baharu yang bakal mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.
Menteri Kesihatan itu menyasarkan RUU baharu akan dibentangkan dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang dijangka bersidang pada Mei depan. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Public Health at University of Malaya