Terkini
Cukai cecair vape pastikan kerajaan ada kawalan menyeluruh – Bekas KP Kastam
Langkah kerajaan mengawal selia produk cecair atau gel mengandungi nikotin akan memastikan ia mempunyai “kawalan sepenuhnya” dan menghalang perdagangan haram produk berkenaan, kata bekas ketua pengarah kastam T Subromaniam.
- Langkah kerajaan mengawal selia produk cecair atau gel mengandungi nikotin akan pastikan ia mempunyai “kawalan sepenuhnya” dan menghalang perdagangan haram produk berkenaan. – Bekas ketua pengarah kastam T Subromaniam.
- Subromaniam berkata, enam negara Asean telah pun mengawal selia penggunaan nikotin dalam e-rokok, cecair vape dan gel dengan mengenakan cukai.
- “Walaupun penjualan rokok elektronik dan cecair vape dan gel mungkin dianggap haram di negara selain daripada enam ini, ia boleh didapati secara meluas, menjejaskan hasil kerajaan.”
- “Lebih baik agar produk-produk ini dikawal selia agar agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam, polis, KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mempunyai kawalan penuh ke atas semua aspek perdagangannya, sekali gus mencegah perdagangan haramnya berkembang,” katanya kepada FMT.
PETALING JAYA: Langkah kerajaan mengawal selia produk cecair atau gel mengandungi nikotin akan memastikan ia mempunyai “kawalan sepenuhnya” dan menghalang perdagangan haram produk berkenaan, kata bekas ketua pengarah kastam T Subromaniam.
Kerajaan mengenakan cukai eksais pada kadar RM0.40 setiap mililiter ke atas rokok elektronik, cecair atau gel yang mengandungi nikotin berkuat kuasa 1 April, dengan 50% daripada hasil eksais disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Subromaniam berkata, enam negara Asean telah pun mengawal selia penggunaan nikotin dalam e-rokok, cecair vape dan gel dengan mengenakan cukai.
“Walaupun penjualan rokok elektronik dan cecair vape dan gel mungkin dianggap haram di negara selain daripada enam ini, ia boleh didapati secara meluas, menjejaskan hasil kerajaan,” katanya kepada FMT.
“Lebih baik agar produk-produk ini dikawal selia agar agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam, polis, KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mempunyai kawalan penuh ke atas semua aspek perdagangannya, sekali gus mencegah perdagangan haramnya berkembang.”
Beliau berkata, syarat ditetapkan Kementerian Kewangan agar pengeluar produk cecair atau gel nikotin tempatan mendaftarkan aktiviti mereka dengan Jabatan Kastam akan memberikan bidang kuasa yang diperlukan agensi itu untuk memantau mana-mana pengimport dan pengilang haram.
Ahli ekonomi daripada Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito menyambut baik langkah mengawal selia itu, dengan berkata strategi pengurangan kemudaratan yang baik harus tertumpu pada idea penggunaan untuk keseronokan, dan pada masa sama meminimumkan atau menghapuskan kesan pada kesihatan.
Ferlito berkata, rangka kerja undang-undang berkait pengurangan kemudaratan perlu menggariskan layanan keutamaan fiskal untuk menggalakkan pengguna beralih daripada produk nikotin tradisional.
“Saya rasa langkah kawal selia itu bagus. Sekurang-kurangnya (kerajaan) tidak mengharamkan (produk ini),” katanya.
“Jika kita ingin mendorong pengguna ke arah produk nikotin alternatif, pengelolaan fiskal mereka sepatutnya lebih bagus berbanding produk nikotin tradisional.
“Sepatutnya ada kelebihan untuk pengguna, jika tidak, cukai seperti untuk rokok, hanya akan meningkatkan perniagaan bagi penyeludup dan pengeluar haram.”
Langkah mengecualikan produk cecair dan gel nikotin daripada senarai racun minggu lepas menimbulkan kontroversi, kerana ia membolehkan produk-produk itu dijual di kaunter kepada orang awam, termasuk kanak-kanak.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mewajarkan langkah itu dengan berkata, cukai produk vape yang dikenakan akan membantu membendung penggunaan meluas produk sedemikian, yang dijual pada harga lebih murah sekarang.
Beliau juga berjanji bahawa Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Kawalan Merokok dinanti-nantikan, yang mengawal semua produk merokok termasuk bahan rokok mengandungi nikotin, akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.
KKM berkata, RUU itu akan memastikan “kawalan menyeluruh” ke atas bahan nikotin atau gel yang mengandungi nikotin dalam rokok elektronik atau vape.
Sumber: Free Malaysia Today