Terkini
(VIDEO) Vape dihalalkan sejarah hitam kawalan tembakau negara – Public Health Malaysia
Public Health Malaysia menyifatkan tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin, yang digunakan dalam gel dan cecair untuk e-rokok dan vape, daripada senarai bahan terlarang di bawah Akta Racun 1952 sebagai satu sejarah hitam.
- Public Health Malaysia menyifatkan tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin, yang digunakan dalam gel dan cecair untuk e-rokok dan vape, daripada senarai bahan terlarang di bawah Akta Racun 1952 sebagai satu sejarah hitam.
- Jualan vape itu dihalalkan bertujuan mengutip cukai daripada cecair vape yang berkuat kuasa pada 1 April lalu di mana duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
- Pengecualian nikotin daripada Akta Racun sebelum meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan menyebabkan kanak-kanak mendapat akses tanpa halangan kepada produk vape yang mengandungi nikotin.
- “Tindakan ini bertentangan dengan keputusan sebulat suara oleh Lembaga Racun yang berfungsi sebagai Penasihat Menteri Kesihatan dalam perihal Racun,” kata Public Health Malaysia.
KUALA LUMPUR — Public Health Malaysia menyifatkan tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin, yang digunakan dalam gel dan cecair untuk e-rokok dan vape, daripada senarai bahan terlarang di bawah Akta Racun 1952 sebagai satu sejarah hitam.
Keputusan menghalalkan jualan vape itu dikatakan bertujuan mengutip cukai daripada cecair vape yang berkuat kuasa pada 1 April lalu di mana duti eksais pada kadar RM0.40 dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, keputusan kerajaan itu membolehkan vape kini boleh dijual, dibeli dan dipromosikan tanpa kawalan termasuk kepada kanak-kanak.
Public Health Malaysia dalam hantarannya di Facebook berpandangan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun sebelum meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan menyebabkan kanak-kanak mendapat akses tanpa halangan kepada produk vape yang mengandungi nikotin.
“Tindakan ini bertentangan dengan keputusan sebulat suara oleh Lembaga Racun yang berfungsi sebagai Penasihat Menteri Kesihatan dalam perihal Racun.
“Tindakan ini adalah sejarah hitam buat Kawalan Tembakau negara. Vape kini halal dijual, dipromosi dan dibeli sesiapa termasuk kanak kanak tanpa sebarang kawalan,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Facebook tidak bersetuju dengan keputusan terbabit dan menggesa ia ditarik semula kerana dikhuatiri merosakkan anak bangsa.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan warta menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.
Pengecualian itu terpakai ke atas tampalan dan gula-gula getah nikotin, yang didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sebelum ini, nikotin, dengan pengecualian kepada tembakau, diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C yang hanya boleh dijual doktor dan ahli farmasi. — The Merdeka Times