Connect with us

Terkini

Guna saluran betul suarakan isu, bukan demonstrasi

Penduduk di Parlimen Sepanggar, di sini, disaran menggunakan saluran betul bagi menyuarakan isu dan rasa tidak puas hati terhadap masalah gangguan bekalan air di kawasan mereka.

Published

on

Guna saluran betul suarakan isu, bukan demonstrasi
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Penduduk di Parlimen Sepanggar, disaran menggunakan saluran betul bagi menyuarakan isu dan rasa tidak puas hati terhadap masalah gangguan bekalan air di kawasan mereka.
  • Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud, berkata kaedah berdialog dengan jabatan atau agensi berkaitan adalah lebih konstruktif berbanding cadangan mengadakan demonstrasi.
  • Cadangan mahu mengadakan demonstrasi berhubung isu air di hadapan ibu pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar dalam isu bekalan air di Sepanggar.
  • “Saya menyeru kepada kumpulan yang ingin berdemonstrasi di pejabat Jabatan Air agar dapat mengutarakan masalah mereka mengikut saluran yang betul,” katanya dalam kenyataan di sini.

KOTA KINABALU: Penduduk di Parlimen Sepanggar, di sini, disaran menggunakan saluran betul bagi menyuarakan isu dan rasa tidak puas hati terhadap masalah gangguan bekalan air di kawasan mereka.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud, berkata kaedah berdialog dengan jabatan atau agensi yang berkaitan adalah lebih konstruktif berbanding cadangan mengadakan demonstrasi.

Katanya, cadangan mahu mengadakan demonstrasi berhubung isu air di hadapan ibu pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di sini tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar dalam isu bekalan air di Sepanggar.

“Saya menyeru kepada kumpulan yang ingin berdemonstrasi di pejabat Jabatan Air agar dapat mengutarakan masalah mereka mengikut saluran yang betul.

“Isu sebenar krisis air di Sepanggar terutamanya adalah ketidakcukupan sumber air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran dan Moyog, Penampang.

“Kedua-dua loji air berkenaan sedang beroperasi melebihi had yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata masalah itu dijangka selesai apabila projek penambahan bekalan air melalui pembinaan LRA Telibong 2 siap tahun depan.

Katanya, projek itu yang sedang giat dilaksanakan ketika ini mengalami kelewatan berbanding jadual asal menyebabkan bekalan air kepada penduduk terjejas.

“Saya menyarankan kepada pihak yang ingin membuat demonstrasi agar berunding secara baik dengan Jabatan Air dan mendengar taklimat berhubung isu air ini.

“Akhirnya saya sekali lagi merayu agar sesi dialog dibuat supaya semua pihak memahami isu sebenar dan punca kelewatan projek berkenaan,” katanya.

Isu gangguan bekalan air yang berterusan menghantui ribuan penduduk di sekitar Sepanggar dan ibu negeri serta daerah berhampiran termasuk Tuaran yang bergantung kepada bekalan air dari LRA Telibong.

Sumber: Berita Harian

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author