Antarabangsa
Ancam bakar Quran di Wakefield, Paludan dihalang masuk UK
Seorang ahli politik pelampau sayap kanan Denmark dihalang daripada memasuki United Kingdom (UK) selepas mengancam untuk membakar al-Quran di Wakefield, sempena permulaan Ramadan.
- Seorang ahli politik pelampau sayap kanan Denmark dihalang daripada memasuki United Kingdom (UK) selepas mengancam untuk membakar al-Quran di Wakefield, sempena permulaan Ramadan.
- Paludan dilaporkan merancang untuk membakar al-Quran di dataran awam di bandar West Yorkshire minggu ini, sebagai tindakan susulan selepas empat pelajar di sebuah sekolah Wakefield digantung kerana merosakkan al-Quran yang dibawa rakan mereka.
- Dalam video yang disiarkan di Twitter pada Ahad lalu, Paludan berkata dia akan pergi ke bandar berkenaan untuk menentang kuasa tidak demokratik di UK.
- Dia menyuarakan hasrat untuk membakar al-Quran pada hari bermulanya bulan Ramadan.
LONDON: Seorang ahli politik pelampau sayap kanan Denmark dihalang daripada memasuki United Kingdom (UK) selepas mengancam untuk membakar al-Quran di Wakefield, sempena permulaan Ramadan.
Menurut laporan BBC, Menteri Keselamatan UK, Tom Tugendhat, berkata pengasas parti anti-Islam Stram Kurs (Hard Line), Rasmus Paludan, kini ditambah ke dalam senarai pemerhatian Imigresen UK.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat mengenai campur tangannya selepas Ahli Parlimen Buruh untuk Wakefield, Simon Lightwood membangkitkan kebimbangannya Isnin lalu berhubung ancaman Paludan itu.
Lightwood berkata, ahli politik pelampau Denmark yang menyokong Islamofobia itu memaklumkan bahawa dia akan pergi ke Wakefield dari Denmark untuk membakar al-Quran di tempat awam.
“Paludan sebelum ini dipenjarakan di Denmark kerana kenyataannya yang penuh kebencian dan perkauman. Dia seorang yang berbahaya, tidak sepatutnya dibenarkan masuk ke negara ini.
“Bolehkah menteri memberi jaminan kepada saya dan komuniti saya bahawa kerajaan sedang mengambil tindakan untuk mencegah perkara ini?,” tanya Lightwood.
Paludan dilaporkan merancang untuk membakar al-Quran di dataran awam di bandar West Yorkshire minggu ini, sebagai tindakan susulan selepas empat pelajar di sebuah sekolah Wakefield digantung kerana merosakkan al-Quran yang dibawa rakan mereka.
Februari lalu, empat pelajar Sekolah Tinggi Kettlethorpe Wakefield digantung sekolah kerana mengoyakkan muka depan al-Quran selain menconteng beberapa muka surat lain naskah kitab suci itu yang dibawa ke sekolah berkenaan oleh seorang pelajar Tahun 10.
Bagaimanapun, pihak polis yang menyiasat kes itu memutuskan tiada kesalahan dilakukan manakala guru besar sekolah itu berkata, beliau berpuas hati bahawa tiada niat jahat oleh mereka yang terbabit.
Dalam video yang disiarkan di Twitter pada Ahad lalu, Paludan berkata dia akan pergi ke bandar berkenaan untuk menentang kuasa tidak demokratik di UK.
Dia menyuarakan hasrat untuk membakar al-Quran pada hari bermulanya bulan Ramadan.
Pada 21 Januari lalu, Paludan membakar salinan al-Quran di hadapan sebuah masjid di Denmark, beberapa hari selepas dia membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.
Dia turut mengadakan beberapa protes sebelum ini, di mana mana kitab suci umat Islam itu dibakar, sekali gus membawa kepada demonstrasi yang ganas.
Bantahan itu turut menjadi sebahagian daripada perbalahan diplomatik antara Turkiye dan Sweden dengan Turkiye kini menahan permohonan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sumber: Berita Harian